Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah sertai jemaah Masjid Al-Mukminin, tunaikan solat Aidiladha terakhirnya sebagai presiden

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Solat Aidiladha tahun ini lebih istimewa buat penduduk di kawasan barat Singapura dengan kehadiran tetamu terhormat, Presiden Halimah Yacob dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee.

Puan Halimah menyertai hampir 4,500 jemaah lain bagi menyempurnakan solat Aidiladha mereka di Masjid Al-Mukminin yang terletak di Jurong East pada Khamis (29 Jun).

Ini merupakan satu detik yang signifikan kerana ia juga merupakan solat Hari Raya terakhir Puan Halimah sebagai presiden Singapura menyusuli pengumuman beliau untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Presiden seterusnya.
Puan Halimah menghadiri sesi kedua solat yang bermula pada pukul 8.45 pagi.

Ketibaan Puan Halimah disambut Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Khairul Anwar, Superintenden Daerah Masjid (Barat), Ustaz Dr Suhaimi Mustar dan Naib Pengerusi Masjid Al-Mukminin, Haji Mohd Imran Omar.

Khutbah Aidiladha dalam sesi itu disampaikan oleh Ustaz Md Syamir Jamalludin.

Dalam tahun-tahun sebelum ini, Puan Halimah menjalankan solat Hari Raya Haji di beberapa kawasan di Singapura termasuk di Masjid Al-Mawaddah, Masjid Jamae Chulia dan Masjid Yusof Ishak.
PANTRI MASYARAKAT MASJID AL-MUKMININ

Selepas sesi solat Aidiladha, Puan Halimah sempat beramah mesra dengan para jemaah Muslimah.

Beliau juga dijemput untuk melawat ruang pantri masyarakat di Masjid Al-Mukimin.

"Pantri masyarakat ini dibuka semasa COVID-19 pada 2021 untuk membantu masyarakat di kawasan Jurong East, Jurong West, Teban dan Toh Guan. Ini adalah kerjasama daripada jemaah kita sendiri daripada kakitangan masjid dan Pengerusi Masjid," kata Ketua Pendekatan Masyarakat Masjid Al-Mukminin, Hamidah Haron.
(Gambar: Facebook/Halimah Yacob)

Susu pekat, beras, mi segera dan minyak adalah antara barangan yang boleh didapatkan di pantri itu.

Menurut Cik Hamidah Haron, barangan yang didapati di dalam pantri masyarakat itu adalah daripada sumbangan orang awam serta dari rakan-rakan masyarakat seperti kelab masyarakat dan institusi agama lain seperti kuil dan gereja.

"Kita akan dapat bantuan dari masyarakat-masyarakat sendiri ada kalanya mereka membawa barangan-barang ini ke masjid mengikut senarai yang diberi. Ada yang tak sempat nak membeli atau mungkin berat nak bawa ke masjid jadi mereka beri dana berbentuk wang tunai melalui kaunter kami, PayNow dan juga pemindahan bank," kongsi Cik Hamidah Haron.

PENDUDUK BUKAN ISLAM JUGA TERIMA SUMBANGAN PANTRI MASYARAKAT

Para penerima bantuan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan Kumpulan B. Kumpulan A tergolong daripada mereka yang menerima zakat daripada masjid berkenaan manakala Kumpulan B pula adalah masyarakat bukan Melayu/Islam yang memerlukan.

"Kita adakan dua kumpulan kerana pantri masyarakat kita bukan sekadar untuk penerima zakat masjid kami, kita juga buka untuk orang lain seperti mereka yang bukan Islam seperti kawasan daripada kuil, dari kelab masyarakat, kalau mereka memang betul perlukan bantuan, mereka boleh datang, tidak kira orang Islam atau bukan Islam," ujar Cik Hamidah Haron.

Pantri tersebut dibuka pada Selasa dan Rabu pada pukul 10:00 pagi hingga 12:00 tengah hari dan 2:00 hingga 4:00 petang.

Masjid Al-Mukminin mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat dan berharap pantri ini dapat menyumbang kepada golongan masyarakat yang lebih besar di kawasan barat.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan