Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah sertai 50 tetamu Be Kind SG bagi acara buka puasa di Istana

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 50 penerima bantuan, pengasuh, kakitangan dan relawan agensi khidmat sosial 'Be Kind SG' berbuka puasa bersama Presiden Halimah di Istana pada Ahad (2 April).

Sejak ditubuhkan pada 2017, agensi itu menyediakan pelbagai khidmat buat golongan kurang upaya termasuk mereka yang kurang daya intelek dan autisme.

Ia juga mengendalikan kegiatan pendamping untuk mereka di rumah-rumah kebajikan dan kurang upaya bagi golongan dewasa seperti Rumah Kebajikan Moral dan THK Home for Disabled @ Sembawang.



Selain itu, Be Kind SG juga mengendalikan program buat kanak-kanak dan belia kurang upaya serta penjaga mereka di bawah program-program Play.Able dan Seeds by Be Kind SG.

Badan itu ditubuhkan bagi memberi inspirasi dan mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif bagi golongan keperluan khas.



"Kami sedang cuba memenuhi jurang-jurang dengan menyokong golongan ini dengan keperluan khas sebagai contoh kanak-kanak. Kami mengendalikan Play.Able iaitu sebuah sumber perpustakaan mainan dan pendidikan untuk menyediakan ruang selamat bagi kanak-kanak belajar dan bermain yang boleh dipinjam penjaga mereka," kongsi Pengasas Be Kind SG Cik Sherry Soon.

"Untuk belia berkeperluan khas, kami sedang melancarkan program rintis iaitu Seeds by Be Kind SG untuk memupuk potensi mereka dan mendedahkan mereka kepada sesi-sesi seni yang sesuai untuk usia mereka serta pembelajaran kemahiran hidup untuk mereka memenuhi potensi mereka dalam kehidupan," tambahnya.



Menurut Cik Soon lagi, Be Kind SG amat berbesar hati dijemput untuk sertai acara buka puasa di Istana itu.

"'Be Kind SG' amat berbesar hati dapat menghadiri acara berbuka puasa ini dan saya rasa ia ada saat yang bersejarah kerana hari ini sebenarnya adalah Hari Kesedaran Austisme Sedunia dan kami dapat meraikan hari ini bersama-sama dengan masyarakat yang kami sokong dan para sukarelawan kami yang telah bekerja keras untuk menyokong masyarakat kami," ujar Cik Soon.

"Kami juga berterima kasih kepada Puan Presiden mengadakan sesi berbuka puasa bersama. Ia juga mencerminkan kefahaman silang budaya di Singapura," tambahnya.

LAWATAN BERPANDU KE TAMAN INKLUSIF SAMBIL BERINTERAKSI BERSAMA PRESIDEN HALIMAH YACOB

Majlis berbuka puasa itu bermula dengan sebuah lawatan berpandu ke Taman Inklusif di mana para tetamu dibawa sekeliling taman tersebut.

Mereka kemudian dijemput untuk berbuka puasa dan dapat berinteraksi dengan Presiden Halimah.



Antara tetamu yang menyertai acara ini ialah Cik Norfadillah Ahmad, 40 tahun, yang bekerja sebagai Penyelaras di Play.Able.

"Saya sangat amat teruja dan rasa ini satu penghormatan untuk beriftar dengan Puan Presiden kerana ini kali pertama saya di Istana dan saya tahu yang Puan Presiden sangat aktif dalam masyarakat golongan berkeperluan khas," kongsi Cik Norfadillah.

"Ia satu penghormatan besar untuk berada di sini dan meluangkan masa bersama semua relawan, terutama sekali dengan pengasas kami, Sherry yang selalu baik hati dan menyokong apa-apa sahaja yang kami lakukan di sini," tambahnya.

PROGRAM BE KIND SG BANTU PENJAGA UTAMA SEPERTI CIK NORFADILLAH JANA PENDAPATAN BUAT KELUARGA



Cik Norfadillah merupakan penjaga utama anaknya, 13 tahun, yang menghidapi gangguan spektrum autisme (ASD).

Jika dahulu, beliau hadapi beberapa cabaran dari segi komunikasi dan mengatasi keadaan anaknya itu, kini beliau berkongsi bahawa keadaan anaknya sudah bertambah baik dengan sesi-sesi intervensi dan terapi yang dijalaninya.



Pekerjaan Cik Norfadillah di Play.Able itu juga banyak membantunya menjana pendapatan lebih-lebih lagi semasa tempoh COVID-19.

"Dia (Play.Able) telah membantu saya dari segi kewangan sebab sebenarnya semasa COVID, suami saya melalui masa yang sukar jadi menerusi ini, ia membantu saya dari segi kewangan dan saya boleh membantu keluarga saya," kongsi Cik Norfadillah.

"Saya juga dapat berjumpa dengan ibu bapa lain yang juga mempunyai anak-anak istimewa dan saya memperkenalkan sumber-sumber di sana dan mengendalikan operasi harian seperti meminjamkan dan memulangkan barangan itu dan kami sebenarnya lebih rapat menerusi pengalaman-pengalaman kita sebagai sebagai ibu bapa anak keperluan khas di situ," tambahnya.

Bagi Cik Norfadillah, beliau juga lega dan gembira melihat anaknya berinteraksi dengan kanak-kanak lain menggunakan sumber-sumber yang disediakan Play.Able.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan