Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah: Ramadan disambut lebih meriah berkat kesabaran, kecekalan umat Islam S'pura harungi pandemik

Masyarakat Islam mempamerkan kecekalan dan kesabaran yang betul-betul hebat sepanjang pandemik.
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Islam mempamerkan kecekalan dan kesabaran yang betul-betul hebat sepanjang pandemik.

Presiden Halimah Yacob juga menekankan bahawa masyarakat harus mengekalkan amalan baik yang telah dipelajari mereka sepanjang mengharungi pandemik agar lebih cekal menghadapi cabaran masa hadapan.

Dalam ucapannya kepada sekitar 200 hadirin majlis berbuka puasa anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Presiden Halimah berkata berkat kesabaran dan kecekalan masyarakat Islam di Singapura dalam mengharungi cabaran COVID-19, bulan Ramadan tahun ini disambut dengan lebih meriah.

"Lebih ramai dapat mengerjakan solat berjemaah, dengan masjid kini menawarkan lebih banyak ruang untuk tarawih dan kegiatan lain sepanjang Ramadan. Saya pasti perkembangan ini disambut baik oleh masyarakat kita. Inilah berkat kesabaran dan kecekalan kita dalam menempuhi cabaran COVID-19," kata beliau.

Presiden Halimah juga melahirkan penghargaannya buat MUIS, para pemimpin masjid, madrasah, pelajar dan rakan kerja atas komitmen mereka yang berterusan dalam berbakti kepada masyarakat.

Beliau menggalakkan mereka untuk memperkayakan lagi usaha-usaha mereka dalam bulan Ramadan ini.

SEMANGAT INOVATIF GERAKAN SALAMSG

Di samping itu, Presiden Halimah juga melahirkan rasa bangga dengan ketangkasan masjid-masjid dalam membuat penyesuaian dalam meneruskan khidmat mereka secara digital sepanjang pandemik.

Ini, kata beliau, termasuk menganjurkan program agama dalam talian serta menghasilkan video ringkas dan infografik mengenai kegiatan di masjid dan nasihat agama secara kreatif bagi mendekati masyarakat dengan lebih mesra.

"Pasca pandemik, saya yakin usaha sebegini akan diteruskan bagi manfaat masyarakat kita," kata Presiden Halimah.

presiden halimah

Beliau juga menarik perhatian kepada semangat inovatif yang turut dipaparkan Gerakan SalamSG yang dilancarkan buat julung-julung kalinya tahun ini, dengan tujuan memenuhi keperluan rohani masyarakat melalui wadah digital dan fizikal.

"Saya akur dengan pesanan Mufti Dr Nazirudin agar kita terus meraih manfaat daripada pengalaman kita dalam mengharungi cabaran pandemik ini. Kita harus mengekalkan amalan baik yang telah kita pelajari, agar kita lebih cekal menghadapi cabaran masa hadapan. Inilah semangat Gerakan SalamSG yang akan terus dipupuk sepanjang bulan Ramadan dan seterusnya," kata beliau.

Dengan lebih banyak pelonggaran bagi sekatan-sekatan COVID-19 kini, Presiden Halimah juga mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dalam menyambung semula kegiatan seharian mereka demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan negara.

Lantaran itu, Puan Halimah juga mengalu-alukan inisiatif pihak masjid yang melantik Duta-Duta
Khidmat Ramadan bagi menyambut kedatangan jemaah ke masjid demi memastikan kegiatan di masjid dapat dijalankan dengan selamat.

Presiden Halimah menyertai 200 orang hadirin di majlis berbuka anjuran MUIS yang diadakan secara hibrid di Hab Islam Singapura.

Seramai 50 orang menghadirinya secara fizikal sementara 150 lagi, secara online.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan