Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah: Pucuk kepimpinan muda 4PM penting demi majukan belia, bawa perspektif berbeza

Lembaga pengurusan 4PM antara yang termuda dalam kalangan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pucuk kepimpinan muda Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) penting dalam membantu belia untuk maju serta membawa perspektif berbeza kepada pertubuhan Melayu/Islam.

Malah penting untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka bagi berkhidmat supaya dapat selanjutnya menyumbang kembali kepada masyarakat.

Presiden Halimah Yacob berkata demikian hari ini (26 Apr) semasa mengunjungi 4PM.

presiden halimah

Lembaga pengurusan persatuan itu antara yang termuda dalam kalangan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam di Singapura.

"Itu sesuatu yang amat penting kerana jika kita bincangkan tentang bagaimana program-program dapat menjadi berterusan dan mampan, mempunyai pemimpin-pemimpin yang dapat membawa belia-belia maju ke hadapan untuk mengambil kedudukan sebagai pemimpin adalah penting.

"Mereka juga membawa perspektif-perspektif yang lain dan penting kita memberikan mereka ruang dan peluang untuk berkhidmat supaya kita dapat lihat kebudayaan memberi khidmat kepada masyarakat diadakan di kalangan mereka," kata Puan Halimah.

PRESIDEN HALIMAH BERBUKA PUASA DENGAN ANGGOTA 4PM

Kunjungan Presiden Halimah ke 4PM adalah sebahagian daripada usaha mendampingi masyarakat, sebagai lambang perpaduan demi menyokong kerja sosial yang antara lain membantu belia, wanita dan warga emas.

Semasa kunjungan tersebut, Presiden Halimah diberi taklimat tentang inisiatif-inisiatif terbaru 4PM serta berpeluang berinteraksi dengan para anggota jawatankuasa dan kakitangan 4PM.

4pm

Dua daripada program 4PM - Roda-roda Ramadan dan Frenz Mentoring juga disokong Cabaran Presiden.

RODA-RODA RAMADAN DIPERBAHARUI DEMI KEPERLUAN SEMASA

Presiden Halimah memuji usaha 4PM memperbaharui Roda-roda Ramadan untuk merangkumi program celik digital bagi keluarga-keluarga memerlukan tahun ini.

"Tahun ini Roda-roda Ramadan telah pun dapat berkhidmat kepada 300 keluarga di Singapura. Pada masa yang sama, bukan sahaja meneruskan program-program yang sedia ada, mereka juga telah membuat pembaharuan iaitu melalui program ilmu tentang digital bagi keluarga-keluarga yang memerlukan dan juga kepada warga emas.

"Pembaharuan tersebut adalah penting kerana badan-badan yang memberikan khidmat harus melihat dan mengambil kira tentang perubahan dari segi ekonomi kita, masyarakat kita dan memenuhi keperluan tersebut," kata Puan Halimah.

IKTIRAF PENTINGNYA KHIDMAT MENTOR

Puan Halimah juga mengiktiraf pentingnya program Frenz Mentoring, di mana para sukarelawan 4PM memberikan bimbingan dan sokongan sosio-emosi kepada belia berisiko untuk meneruskan persekolahan.

4pm
(Gambar-gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

"Dengan ramai juga anak-anak kita yang menghadiri kursus-kursus di ITE, jadi program mereka untuk memastikan pelajar-pelajar ITE tidak tercicir dan dapat meneruskan persekolahan mereka amatlah penting.

"Saya berharap mereka dapat terus mengembangkan program ini dan juga mengadakan sedikit analisa dengan badan-badan lain... tentang bagaimana dapat memberikan motivasi yang lebih baik kepada pelajar-pelajar ITE kita supaya mereka mempunyai motivasi yang tinggi untuk meneruskan pembelajaran mereka," kongsi Puan Halimah.

Puan Halimah juga menghargai pendekatan 4PM bagi mendekati masyarakat melalui bahasa.

Menerusi Bahas 4PM, kata Puan Halimah, persatuan itu membuat sumbangan dan memainkan peranan dalam meningkatkan mutu bahasa dan juga demi memastikan para belia dan anak-anak muda terus mempunyai minat dalam bahasa Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan