Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah, PM Lee ucap tahniah kepada Xi Jinping atas pelantikan semula sebagai Presiden China

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah, PM Lee ucap tahniah kepada Xi Jinping atas pelantikan semula sebagai Presiden China

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berjabat tangan dengan Presiden China Xi Jinping sebelum mesyuarat mereka di Beijing pada 20 September 2017. (Gambar fail: AFP/Lintao Zhang)

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menulis kepada Presiden China Xi Jinping untuk mengutuskan ucapan tahniah atas pelantikan semulanya bagi penggal ketiga.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Jumaat (10 Mac).

Encik Xi diberikan mandat untuk menggalas jawatan tersebut buat penggal ketiga, selama lima tahun, yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Ini setelah hampir 3,000 anggota Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC), iaitu parlimen China, sebulat suara mengundi tokoh berusia 69 tahun itu dalam satu pilihan raya, yang menyaksikan tiada calon bertanding selain Encik Xi.

"Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada anda atas pelantikan semula anda sebagai Presiden Republik Rakyat China," kata Puan Halimah.

"Saya yakin bahawa di bawah pucuk kepimpinan anda yang berwibawa, China akan terus meraih pencapaian baru dan menikmati keamanan serta kemakmuran yang berpanjangan."

Puan Halimah menambah beliau "sangat yakin kedua-dua negara kami akan terus memperkukuhkan hubungan yang terjalin pada tahun-tahun mendatang demi kepentingan rakyat kami."

Dalam surat ucapan tahniahnya, Encik Lee menarik perhatian bahawa China sudah mencapai kemajuan yang mengagumkan dalam pembangunannya di bawah pucuk kepimpinan Encik Xi, sekali gus membawa manfaat bukan saja kepada rakyatnya bahkan juga rantau tersebut.

"Sedang China melalui fasa seterusnya dalam pertumbuhannya dan persekitaran sejagat yang mencabar, saya yakin bahawa anda akan mengemudi negara ke arah mencapai kemajuan serta kemakmuran yang berterusan."

Encik Lee juga menyentuh tentang hubungan muhibah yang erat dan lama terjalin antara Singapura dengan China, yang dipelihara rapi oleh generasi pemimpin berturut-turut di kedua-dua belah pihak.

Beliau menambah: "Kerjasama dua hala kami terus berkembang sejajar dengan kepentingan dan keutamaan rakyat kami.

"Ini mencerminkan betapa dalam pemahaman bersama dan komitmen kami untuk berpadu tenaga bagi manfaat bersama. Saya menantikan untuk berganding bahu dengan anda bagi membawa hubungan dua hala kami ke tahap seterusnya."

Kedua-dua pemimpin itu turut mendoakan kesejahteraan kesihatan dan kejayaan berterusan buat Encik Xi.
Sumber : CNA/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan