Presiden Halimah, PM Lee ucap tahniah kepada Presiden baru Myanmar
Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengutuskan ucapan tahniah kepada Encik Win Myint yang baru dilantik sebagai presiden Myanmar. Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataan medianya semalam (4 Apr).
Presiden Myanmar Encik Win Myint. (Gambar: Ye Aung Thu/ AFP)
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengutuskan ucapan tahniah kepada Encik Win Myint yang baru dilantik sebagai presiden Myanmar. Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataan medianya semalam (4 Apr).
Encik Win Myint, 66 tahun, dilantik parlimen Myanmar pada 28 Mac, selepas mantan presiden Htin Kyaw meletak jawatan secara mendadak pada minggu sebelumnya.
Dalam suratnya pada Isnin (2 Apr), Puan Halimah mengimbas kembali pertemuannya dengan Encik Win Myint dalam Perhimpunan Silang Parlimen ASEAN yang ke-37 di Myanmar pada September 2016. Beliau turut mengalu-alukan kerjasama rapat dengan Encik Win Myint kerana kedua-duanya pernah menyandang jawatan yang sama sebelum ini sebagai speaker parlimen.
"Pada 2016, kedua-dua negara meraikan hubungan dua hala yang terjalin selama 50 tahun. Saya yakin pada tahun-tahun mendatang, kami akan terus mengukuhkan lagi hubungan antara Singapura dengan Myanmar," katanya.
PM Lee turut menyampaikan ucapan tahniah melalui surat berasingan pada Isnin (2 Apr).
"Singapura dan Myanmar menjalin hubungan yang muhibah dan kukuh sejak sekian lama. Saya berharap hubungan dua hala di pelbagai peringkat antara kami dapat diperkukuhkan lagi, selain meneruskan kerjasama dalam ASEAN bagi mengukuhkan lagi kepentingan bersama," kata PM Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.