Skip to main content

Singapura

Presiden Halimah, Masagos seru penghayatan nilai-nilai murni sempena Ramadan

 Presiden Halimah Yacob berkata bulan Ramadan adalah masa untuk masyarakat Islam menghidupkan nilai-nilai sebenar Islam dan meningkatkan sikap ihsan dan kasih sayang.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah, Masagos seru penghayatan nilai-nilai murni sempena Ramadan

Gambar fail Bazar Geylang Serai. (Gambar: TODAY/Wee Teck Hian)

Diterbitkan : 05 May 2019 09:58PM Dikemas Kini : 05 May 2019 10:10PM

BERITAmediacorp: Presiden Halimah Yacob berkata bulan Ramadan adalah masa untuk masyarakat Islam menghidupkan nilai-nilai sebenar Islam dan meningkatkan sikap ihsan dan kasih sayang.

Menulis di laman Facebook, Puan Halimah juga menyeru masyarakat Islam untuk memperbaiki diri dan membawa kebaikan menerusi tingkah laku dalam kehidupan mereka sehari-hari.

"Ini erti sebenar Islam. Ia bukan hanya tentang ritual, cara makan, berpakaian atau beribadat. Sama penting adalah bagaimana pertuturan, tingkah laku dan perbuatan seseorang membawa kebaikan kepada orang lain supaya kehadiran kita dilihat sebagai satu rahmah", katanya.

Mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam, Puan Halimah menambah, bulan ini juga masa untuk lebih memaparkan sikap kesederhanaan dan daya ketahanan diri.

Turut mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada umat Islam, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli memuji cara masyarakat Islam di sini memeriahkan suasana bulan puasa.

"Bazar Geylang Serai adalah warisan budaya unik masyarakat Melayu Islam Singapura yang memeriahkan suasana bulan puasa. Saya gembira kerana ia diselaraskan oleh masyarakat yang juga menunaikan tanggungjawab mereka berpuasa dan suka menabur rahmah kepada semua."

Malah, tambahnya, para pengunjung kaum asing juga terkesan dengan semangat kekitaan masyarakat Islam semasa mereka berkunjung ke Bazar Geylang Serai.

Selain mempertingkatkan usaha dalam beribadah, kata beliau, masyarakat Islam di Singapura juga tidak lupa untuk menunjukkan sikap rahmah kepada satu sama lain dengan berkongsi juadah serta menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik menerusi pelbagai cara.

"Tahun ini, kempen Sentuhan Ramadan MUIS disokong padu oleh MESRA dan MENDAKI di bawah rangka kerja M³. Dengan usaha yang lebih luas menerusi M³@Bandar, saya yakin nilai rahmah akan lebih dirasai oleh jiran tetangga dan masyarakat di sekeliling kita," tulis Encik Masagos.

Beliau berharap segala usaha murni yang digiatkan segenap lapisan masyarakat dalam bulan mulia Ramadan dapat berterusan sepanjang tahun malah berakar umbi dalam budaya Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/EM/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita