Presiden Halimah lancar inisiatif baru sokong belia dengan masalah mental
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob hari ini (15 Mac) melancarkan satu inisiatif baru yang akan menyokong golongan belia yang mengalami masalah mental.
Di bawah inisiatif dipanggil Program Menyokong Belia dalam Masyarakat atau SYiNC itu, Institut Kesihatan Mental (IMH) akan melatih dan menyediakan sokongan kepada agensi-agensi khidmat sosial (SSA) supaya mereka dapat membantu golongan belia yang merupakan pesakit luar IMH.
Ini bermakna, golongan belia yang mengalami masalah mental ringan dan sederhana tidak lagi perlu ke IMH untuk mendapatkan rawatan.
Mereka sebaliknya hanya perlu ke SSA berdekatan rumah masing-masing.
Sejauh ini, empat SSA, termasuk Kelab Heal sudah mengambil bahagian dalam program perintis Cabaran Presiden ini.
IMH dijangka menyediakan latihan dari bulan depan hingga hujung tahun.
Kes-kes pula akan dirujukkan kepada SSA bermula Januari tahun depan.
"Khususnya kami mendapati dua kumpulan belia yang memerlukan lebih banyak bantuan dari sistem sedia ada. Yang pertama adalah mereka yang tidak mengalami masalah teruk untuk dimasukkan ke IMH tetapi masih memerlukan sokongan masyarakat. Kedua adalah mereka yang memerlukan jagaan selepas dibenarkan pulang oleh IMH. Program PC-IMH ini akan menjadi jambatan penting antara jagaan di hospital dan jagaan di rumah bagi belia yang berdepan dengan isu-isu mental," ujar Presiden Halimah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.