Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah lambang perpaduan; menyatukan rakyat SG: Dr Norshahril Saat

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah lambang perpaduan; menyatukan rakyat SG: Dr Norshahril Saat

(Gambar: Syawal Yusoff)

BERITAmediacorp: Pemimpin berjiwa rakyat, lambang perpaduan dan menyatukan masyarakat tidak mengira kaum dan agama.

Demikian jolokan yang diberikan kepada Presiden Halimah Yacob yang ramah dan mudah didekati segenap lapisan masyarakat.

Malah menurut Zamil Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, Presiden Halimah juga membuktikan bahawa golongan minoriti juga ada tempat dalam masyarakat di sini.

"Kalau kita nilai dari sudut percubaan beliau, pendekatan beliau sepanjang memegang jawatan presiden, saya lihat bahawa beliau cuba sedaya upaya untuk mendekati semua golongan masyarakat. Walaupun dia tahu bahawa pilihan raya presiden yang lalu itu sangat unik kerana ia dikhususkan kepada calon-calon Melayu.

"Tetapi saya lihat sepanjang enam tahun yang lalu beliau cuba mendekati semua bukan hanya orang Melayu, tapi juga kaum-kaum lain. Tapi bukan hanya itu, kita juga lihat beliau cuba mendekati setiap strata dalam masyarakat. Baik kelas bawahan, kelas menengah dan sebagainya. Jadi itu mungkin satu kelebihan Presiden Halimah Yakob," kata Dr Norshahril.

KEHADIRAN PRESIDEN HALIMAH CUKUP DIRASAKAN RAKYAT

Dr Norshahril menarik perhatian bahawa kehadiran Puan Halimah dan suaminya, Encik Mohamad Abdullah Alhabshee cukup dirasakan dalam masyarakat.

“”

"Presiden Halimah bukan hanya menghadiri acara-acara formal. Kalau rakyat mahu berjumpa dengan beliau atau suami beliau, itu senang sekali untuk berjumpa dengan mereka, untuk memberikan khabar untuk memberikan pandangan dan sebagainya.

"Ini memberikan satu mungkin dorongan pada calon-calon yang akan datang bagaimana untuk menyantuni rakyat," ujar Dr Norshahril, yang menyifatkan pasangan itu sebagai 'gabungan yang baik'.

BUKA PELUANG BARU UNTUK SG DI PERSADA ANTARABANGSA

Sebagai Presiden wanita pertama negara ini, Puan Halimah juga membuktikan kepada dunia betapa wanita juga boleh mengisi jawatan tertinggi dan simbol negara Singapura.

Di samping itu, beliau juga berupaya mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara Singapura dengan negara-negara lain termasuk di Asia Tengah.

Lawatan rasmi lima hari Presiden Halimah ke rantau itu baru-baru ini sekaligus mencipta sejarah sebagai lawatan negara pertama oleh seorang Presiden Singapura ke rantau itu.

“”

Dr Norshahril menambah, "Itu menunjukkan bahawa seorang wanita juga boleh pegang jawatan tertinggi dalam negara. Kadang-kadang kita lihat dalam negara-negara demokrasi yang maju pun, belum pernah ada seorang wanita yang dipilih tapi Singapura sudah ada walaupun bukan ahli politik, pemegang jawatan politik, tetapi sebagai simbol negara."

KUKUHKAN PERSEPSI TENTANG MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Imejnya yang bertudung juga sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat.

"Sebagai satu isu yang mungkin menekankan lagi bahawa jika ada stereotaip-stereotaip tertentu terhadap masyarakat Islam, mungkin Presiden Halimah menyumbang kepada usaha untuk mengetepikan stereotaip-stereotaip negatif itu tapi kalau kita lihat dari segi bagaimana beliau membantu membezakan cara pemakaian dalam masyarakat, saya fikir itu sudah perkara yang terbiasa. Cuma saya fikir ia hanya mengukuhkan lagi persepsi bahawa masyarakat Melayu/Islam boleh menyumbang pada negara dengan sebaik-baiknya," ujar Dr Norshahril.

Dalam pilihan raya akan datang, Dr Norshahril menjangkakan ramai yang akan tampil untuk menyandang jawatan tersebut.

“”

Ini memandangkan ia tidak dikhususkan kepada mana-mana kaum.

Beliau juga berharap calon-calon Melayu/Islam yang layak akan tampil ke hadapan.

"Kalah menang itu isu yang kedua. Tapi saya tidak mahu calon Melayu untuk tunggu giliran sahaja kerana kita berjuang dalam satu masyarakat meritokrasi.

"Jika anda benar-benar mahu berbakti kepada masyarakat, inilah masanya," tambah beliau.

Pilihan raya presiden selanjutnya perlu diadakan sebelum 13 September ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan