Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah kongsi 2 'naratif jelas' ini yang perlu disokong masyarakat Melayu

Presiden Halimah Yacob hari ini (21 Nov) berkongsi dua "naratif jelas" yang beliau harap semua pihak dalam masyarakat Melayu/Islam akan menyokongnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob hari ini (21 Nov) berkongsi dua "naratif jelas" yang beliau harap semua pihak dalam masyarakat Melayu/Islam akan menyokongnya.

Pertama, kata beliau, kanak-kanak Melayu "mesti" diberikan pendidikan prasekolah selama sekurang-kurangnya tiga tahun untuk bersedia mengharungi pendidikan Darjah Satu.

Kedua, peri perlunya membantu dan mempersiap pekerja Melayu memasuki sektor sedang berkembang untuk "jangka panjang".

Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan ke pusat MENDAKI@Choa Chu Kang siang tadi (21 Nov).

PRESIDEN: PENDIDIKAN PRASEKOLAH SEKURANG-KURANG 3 TAHUN

Semasa lawatannya ke pusat satelit MENDAKI itu, Presiden Halimah diberi taklimat mengenai operasi dan pelbagai program yang dijalankan di sini.

Ia termasuklah program KelasMateMatika@CC yang mengupaya ibu bapa supaya membimbing anak berusia antara 4 hingga 6 tahun.

Dalam ulasannya kepada pihak media kemudian, Presiden Halimah menekankan tentang pendidikan prasekolah bagi anak-anak Melayu.

"Saya lihat dari segi program-programnya (MENDAKI) bermula daripada seawal-awal di mana kanak-kanak jangka umur masa prasekolah, mereka menegaskan amatlah penting.

"Dan saya sendiri ingin menegaskan amatlah penting bagi kita menentukan sebagai keluarga Melayu/Islam menentukan bahawa anak-anak kita mulakan pelajaran prasekolah mengadakan tiga tahun, sekurang-kurangnya tiga tahun belajar di prasekolah," kata Puan Halimah.

Malah Presiden Halimah percaya mesej peri perlunya pendidikan prasekolah selama tiga tahun itu harus diulangi di "kesemua forum lain dalam badan-badan Melayu/Islam lainnya".

PENTINGNYA PEMADANAN PEKERJAAN

Beliau kemudian menyentuh tentang peri perlunya membantu dan memadankan pekerja Melayu yang mencari pekerjaan, terutama sekali dalam keadaan COVID-19 sekarang.

Pengangguran struktur - iaitu wujudnya pekerjaan, tetapi tiada pekerja yang sesuai - menjadi satu cabaran yang beliau utarakan.

Contohnya, dalam industri-industri yang dijana oleh Kecerdasan Buatan atau AI yang merupakan sektor berkembang.

Di sinilah Presiden Halimah berharap masyarakat memahaminya - bahawa ada peluang di dalamnya dan perlu bersedia untuk mengambil pekerjaan-pekerjaan sedemikian.

"Alam pekerjaan adalah suatu yang penting buat masa ini, buat masa ini kerana COVID-19 telah menjejas ramai pekerja, lebih ramai yang telah hilang pekerjaan dan ada banyak program program untuk membantu mereka.

"Saya ingin menegaskan usaha untuk memadankan seseorang yang mencari pekerjaan dengan pekerjaan adalah penting dan saya rasa usaha secara am, kita harus melihat bagaimana kita terus mengadakan usaha yang lebih terperinci lebih khusus kepada individu," tambah beliau lagi.

Memandang ke hadapan, Puan Halimah berharap badan-badan Melayu/Islam yang lain dapat bekerjasama rapat dengan MENDAKI bagi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Melayu/Islam Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan