Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah ke Abu Dhabi bagi hadiri majlis perkabungan rasmi Allahyarham Sheikh Khalifa

Presiden Halimah Yacob pada Isnin (16 Mei) menyampaikan ucap takziah kepada pemimpin Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan atas pemergian saudara lelakinya iaitu bekas pemimpin UAE, Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 May 2022 07:10PM Dikemas Kini : 18 May 2022 12:10AM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob pada Isnin (16 Mei) menyampaikan ucap takziah kepada pemimpin Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan atas pemergian saudara lelakinya iaitu bekas pemimpin UAE, Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan.

Presiden Halimah berada di UAE semalam bagi mewakili Singapura di majlis perkabungan rasmi Allahyarham Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan.

Dalam catatannya di Facebook, Presiden Halimah berkata Allahyarham Sheikh Khalifa disayangi oleh rakyat UAE dan akan dirindui.

"Di bawah kepimpinan Sheikh Khalifa, UAE mencatatkan kemajuan dan perkembangan yang stabil. Hubungan antara Singapura dengan UAE juga semakin kukuh sejak Sheikh Khalifa menyambut kedatangan mantan Presiden Singapura S R Nathan semasa lawatan rasmi pada 2009," kata Puan Halimah.

Allahyarham Sheikh Khalifa dilaporkan meninggal dunia pada usia 73 tahun pada Jumaat lalu (13 Mei).

Presiden Halimah turut diiringi Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.

"Sheikh Khalifa mengabdikan kehidupannya untuk berkhidmat kepada rakyat UAE dan meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dilupakan dalam perkembangan negaranya," kata Dr Maliki dalam catatan Facebooknya hari ini.

Menyusuli pemergiannya, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dilantik sebagai Presiden UAE dan raja Abu Dhabi.

Presiden Halimah juga mengucapkan tahniah kepada Sheikh Mohamed atas pelantikannya sebagai Presiden UAE.

"Sebelum ini, saya menjadi tuan rumah ketika beliau membuat lawatan rasmi ke Singapura pada Februari 2019. UAE merupakan rakan kerja Singapura sejak dahulu lagi dan juga dihargai, dan saya alu-alukan untuk bekerjasama dengan Sheikh Mohamed bagi mendalami hubungan dua hala kami," kata Puan Halimah.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan