Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah gesa MUIS, polis siasat sepenuhnya tinjauan lucah terhadap asatizah wanita

Skandal tinjauan lucah terhadap 17 ustazah: Presiden Halimah tekankan bahawa "MUIS dan polis harus menyiasat sepenuhnya perkara ini dan menghukum mereka yang didapati bersalah".

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah gesa MUIS, polis siasat sepenuhnya tinjauan lucah terhadap asatizah wanita

(Petikan video: Facebook/Halimah Yacob)

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob menyuarakan rasa sangat terganggu dan mengutuk keras tentang tinjauan lucah yang menghina 17 asatizah Singapura.

Terdapat dua tinjauan lucah itu menerusi wadah media sosial MeWe yang memeranjatkan masyarakat Muslim tempatan. Ini termasuk satu daripadanya pada 25 Mei yang mengajukan soalan tidak senonoh -"Ustazah mana patut kena gangbang?" - yang merujuk kepada perbuatan merogol beramai-ramai. Tinjauan tersebut yang dimuat naik pengguna bernama 'M A' mendapat lebih 240 undian.

Satu lagi tinjauan lucah dimuat naik pada 15 April tahun ini membabitkan gambar 5 orang ustazah. Tinjauan ini yang mempunyai kata-kata atau pertanyaan 'Gangbang Ustazah mana?' menerima sejumlah 1,005 undian.

Dalam luahan beliau menerusi Facebook itu (27 Mei), Presiden Halimah menekankan bahawa "MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura) dan polis harus menyiasat sepenuhnya perkara ini dan menghukum mereka yang didapati bersalah".

Beliau menambah bahawa ini bukan setakat satu bentuk gangguan terburuk yang melanggar undang-undang negara, malah ia "suatu undangan terbuka supaya melakukan kekerasan seksual terhadap wanita".

Presiden Halimah menekankan bahawa sekiranya benar bahawa sebilangan daripada mereka yang terlibat adalah para pelajar bidang ukhrawi, "kita perlu dengan serius mempertimbangkan sama ada mereka layak untuk mengajar agama kepada masyarakat apabila mereka tamat pengajian kelak".

Tambah beliau, masyarakat tidak harus membenarkan anonimiti di laman web untuk memberi kuasa kepada mereka yang mahu menyalah guna, merendah-rendahkan dan mencabuli kaum wanita.

Menerusi laman Facebook beliau juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut maklum bahawa ada yang menyatakan kebanyakan daripada orang di sebalik tinjauan itu adalah mahasiswa pengajian ukhrawi.

Beliau mendedahkan bahawa beliau sudah menugaskan MUIS supaya menyiasat tuduhan-tuduhan tersebut secepat mungkin dan jika terbukti benar, dalangnya mesti ditangani dengan sepenuhnya kuasa undang-undang.

PENDIDIKAN PERLU DITERUSKAN UNTUK TINGKATKAN KESEDARAN

Setiausaha Parlimen bagi Kesihatan, Rahayu Mahzam juga bersuara berhubung perkara itu dan menyifatkan sikap dan komen-komen mengenai wanita itu sebagai memualkan dan tidak boleh diterima.

"Saya gembira melihat ramai dalam kalangan masyarakat kita, lebih-lebih lagi kaum lelaki, yang menentang dan mengutuk perbuatan sedemikian," kata Cik Rahayu.

Seorang lagi Anggota Parlimen, Zhulkarnain Abdul Rahim dari GRC Chua Chu Kang, menerusi Instagram, turut meluahkan rasa jijik dan kecewa dengan perkembangan tersebut.

Berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang peguam dan sukarelawan di Rumah Wanita Casa Raudha, beliau mendapati di sebalik keganasan fizikal atau seksual, ada pemikiran partriakal dan misoginistik yang perlu dihapuskan.

"Saya berharap mereka yang mengendalikan tinjauan ini akan dipertanggungjawabkan. Saya akan terus berusaha agar kaum Hawa dan anak-anak perempuan kami dihormati dan mendapat perlindungan yang layak diterima mereka," kata Encik Zhulkarnain.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan