Presiden Halimah gesa belia jangan remehkan bahaya dadah
Belia dan bekas pesalah dadah bersatu untuk menyebarkan mesej antidadah di wadah online melalui sebuah kempen media sosial yang dirasmikan Presiden Halimah Yacob, hari ini (30 Jun).
Puan Halimah gembira kerana belia memainkan peranan untuk berkongsi maklumat yang menolak pengaruh dadah. (Gambar: Betty Chua/ MCI)
SINGAPURA: Belia dan bekas pesalah dadah bersatu untuk menyebarkan mesej antidadah di wadah online melalui sebuah kempen media sosial yang dirasmikan Presiden Halimah Yacob, hari ini (30 Jun).
Sejak umur 14 tahun lagi, Mohammad Azahari Abdul Razak terjebak dengan najis dadah. Akibatnya, Azahari meringkuk di dalam penjara selama 14 tahun.
Namakan apa sahaja jenis dadah, semuanya sudah dicuba. Keluarga pincang dan pergaulan tidak sihat menjadi titik permulaan.
Namun sekarang, Azahari ingin berkongsi ceritanya untuk membantu mangsa lain yang terjerat dengan penyalahgunaan dadah.
"Apa yang membuat saya rasa hendak berubah adalah apabila saya memandang ibu saya yang sentiasa, setiap bulan, datang bertemu saya di dalam penjara. Dari situ saya belajar yang saya sudah banyak kali, kerap kali, membuat dia susah dan membuat dia risaukan diri saya. Saya rasa masa untuk berubah itu sudah tiba," kata Azahari.
MESEJ KEMPEN
Mesej penting yang ingin disampaikan adalah para bekas pesalah dadah memerlukan sokongan keluarga.
Ternyata, itu juga diinginkan oleh para anggota keluarga pesalah dadah. Seorang isteri kepada pesalah dadah yang tidak ingin namanya didedahkan memberitahu BERITAMediacorp tentang peri pentingnya masyarakat kekal bersatu-padu.
"Kita tidak akan rasa seperti tersisih, tetapi saling memahami," ujar beliau.
Bersama-sama dengan Persatuan Anti-Narkotik Singapura, SANA, mereka kini giat memerangi dadah di media sosial.
(Gambar: Betty Chua/ MCI)
Lebih 200 belia dan bekas pesalah sudah pun giat berkongsi kisah-kisah mereka secara online serta sebulat suara menentang penyalahgunaan dadah menerusi #SANARiseAbove. Inisiatif itu turut mendapat sokongan lagenda bola sepak negara, Fandi Ahmad.
Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan tahun lalu, Biro Narkotik Pusat mendapati 16 peratus belia berusia antara 13 hingga 21 tahun bersikap lebih terbuka terhadap dadah. Ia adalah satu peningkatan berbanding 11 peratus pada tahun 2013. Sekitar 30 peratus belia dalam kumpulan usia yang sama pula tidak menganggap ganja sebagai suatu ketagihan.
Menurut laporan tersebut, persepsi itu dibentuk dari sumber-sumber online.
Maka itu, perjuangan untuk melawan dadah terus diperhebat secara online dengan perasmian kempen SANA dipanggil "Rise Above - Overcoming the Influence".
"Belia-belia terdedah kepada maklumat yang tidak tepat, yang bukan hanya meremehkan bahaya dadah tetapi mengheboh-hebohkan tentang kononnya nilai perubatannya. Pengambilan ganja adalah satu contoh. Ia digambarkan sebagai sesuatu yang 'glamour' khususnya di media sosial. Adalah penting untuk belia-belia mendampingkan diri mereka dengan pengaruh positif," kata Presiden Halimah Yacob.
Kempen SANA ini akan diadakan secara tahunan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.