Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah garis 4 keutamaan Pemerintah bagi penggal seterusnya

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah garis 4 keutamaan Pemerintah bagi penggal seterusnya

Tangkapan skrin daripada CNA

Diterbitkan : 10 Apr 2023 09:11PM Dikemas Kini : 10 Apr 2023 10:07PM
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob menggariskan empat keutamaan yang akan menjadi tunjang Pemerintah bagi baki penggal lima tahun yang akan berakhir pada 2025.

Presiden Halimah membentangkan keempat-empat keutamaan itu ketika menyampaikan ucapannya semasa merasmikan pembukaan semula Parlimen ke-14 pada Isnin (10 Apr) selepas direhatkan separuh penggal pada Jumaat, 24 Mac yang lalu.

LUASKAN PELUANG TANPA KIRA LATAR BELAKANG

Pertama, Pemerintah akan memperluaskan peluang sepanjang hayat untuk semua rakyat Singapura tanpa mengira latar belakang mereka.

Menurut Presiden Halimah, meritokrasi sejak sekian lama telah menjadi prinsip yang dipegang teguh oleh masyarakat kita. Ia telah menawarkan banyak peluang kepada rakyat yang berani menunjukkan tekad dan keupayaan untuk mencapai kecemerlangan.

"Sedang kita maju sebagai sebuah masyarakat, kita tidak boleh membiarkan kelebihan dan keistimewaan negara kita berakar umbi sehingga ia menjadi sesuatu yang membuatkan kita leka dan mudah berpeluk tubuh," tegas Presiden Halimah.

"Maka itu, kita mesti memastikan meritokrasi yang lebih luas dan terbuka menjadi sesuatu yang akan memanfaatkan semua rakyat Singapura," kata Presiden Halimah selanjutnya.

Ini bermakna Pemerintah perlu memikirkan semula pendekatan terhadap pendidikan dan pekerjaan.

Singapura, menurut Presiden Halimah, akan terus mempersiapkan anak-anak kita untuk masa depan yang lebih mencabar, bermula sejak mereka kecil lagi.

"Pada masa yang sama, kita mesti mengenal pasti tekanan-tekanan persaingan yang telah terbina dalam sistem pendidikan kita, khususnya dalam kalangan segmen tertentu masyarakat. Kami akan menyediakan akses yang lebih baik kepada pendidikan dan banyak peluang untuk belajar dan memperbaiki diri," kata Presiden Halimah.

Singapura juga mesti menyemak semula bagaimana kita menilai kemahiran dan bakat yang berbeza, di samping menyediakan laluan-laluan menuju kejayaan.

"Kita harus memberi nilai yang lebih tinggi kepada mereka yang mahir bertukang dan menyumbang kepada negara melalui keupayaan teknikal dan amali mereka. Begitu juga bagi mereka yang memiliki sifat ihsan dan empati untuk terus cemerlang dalam bidang-bidang seperti khidmat masyarakat," tekan Presiden Halimah.

Setiap rakyat Singapura mesti mempunyai peluang untuk bekerja yang mereka rasa memuaskan dan bermakna.

Pada masa yang sama, Pemerintah akan mempertingkatkan sokongan yang dihulurkan kepada golongan yang lemah dan kurang bernasib baik.

Para pekerja bergaji rendah dan keluarga mereka juga akan dibantu, di samping memperkasakan mereka melalui inisiatif yang akan memperbaiki taraf kehidupan mereka, menurut Presiden Halimah.

PERTINGKAT, PERLUASKAN JARINGAN SOSIAL

Kedua, dalam dunia yang berubah dan berkembang pesat, Pemerintah akan mempertingkatkan jaringan sosial untuk membantu rakyat Singapura menangani gangguan dan kegenjotan pada kehidupan mereka.

Dengan ekonomi dunia dijangka lebih tidak menentu dan kemajuan teknologi pula diramal berubah dengan pantas, para pekerja, khususnya mereka yang berusia 40-an dan 50-an tahun, lebih berisiko mengalami masalah kemahiran yang sudah lapuk dan berdepan dengan risiko diberhentikan kerja.

Semasa pandemik, Pemerintah memperkenalkan Geran Pemulihan COVID-19 dan Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited untuk menyokong mereka yang kehilangan mata pencarian.

Pemerintah akan mengkaji bagaimana sokongan serupa boleh dihulurkan menjangkaui pandemik, dedah Presiden Halimah.

Sokongan bagi mereka yang kurang upaya juga akan dipertingkat agar mereka dapat memburu cita-cita dan aspirasi masing-masing.

Melalui SG Lebih Sihat pula, Pemerintah akan menambah baik khidmat jagaan kesihatan dan memperkasakan rakyat untuk menguruskan kesihatan mereka sendiri, di samping menggalak mereka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap.

Pemerintah juga akan membantu warga emas meniti usia senja mereka dengan lebih tenang.

Ini, menurut Presiden Halimah, akan dilakukan dengan membantu simpanan persaraan mereka dan memperluaskan pilihan jagaan dan tempat tinggal.

Pemerintah berikar ia akan membolehkan lebih ramai warga emas meniti usia senja dalam keselesaan rumah mereka sendiri, dengan keluarga dan rakan-rakan dekat di sisi mereka.

Sehubungan itu, Pemerintah akan memastikan agar perumahan awam kekal dalam kemampuan ramai dan mudah diakses rakyat.

Hampir 100,000 rumah privet dan awam dijangka siap antara sekarang hingga 2025.

"Pasangan muda dan keluarga dengan anak-anak kecil akan tetap diberikan keutamaan untuk membeli rumah pertama mereka," dedah Presiden Halimah.

BANDAR HIJAU, SALING TERHUBUNG

Ketiga, Pemerintah akan meneruskan usaha jangka panjangnya untuk membangunkan Singapura sebagai sebuah bandar yang hijau, saling terhubung dan sesuai didiami.

Pemerintah juga akan terus menyuntik nafas baru dan merubah landskap moden Singapura. Pusat dan daerah baru akan dibangunkan di luar kawasan CBD, di samping merintis huraian-huraian lebih kreatif yang akan mengubah cara kita bekerja dan beriadah, kata Presiden Halimah.

Teknologi akan menjadi pemacu utama Singapura dan rancangan-rancangan bandar akan disepadukan dengan visi Negara Bijak.

Pada masa yang sama, Pemerintah akan mengukuhkan budaya dan warisan pelbagai kawasan kejiranan.

Singapura akan mempunyai jalan raya yang lebih terhubung dan ruang hijau yang selesa untuk berjalan kaki dan berbasikal di mana penduduk boleh berkumpul dan berinteraksi bersama.

"Pemerintah juga akan menjadikan estet-estet perumahan kita sebagai ruang bertenaga untuk anak-anak kita membesar dan berkongsi kenangan, selain membina jati diri berbilang kaum dan agama yang unik," dedah Presiden Halimah.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA KUKUHKAN KOMPAK SOSIAL

Keempat, Pemerintah akan mengukuhkan tanggungjawab bersama untuk membentuk kompak sosial yang baru.

Rakan-rakan masyarakat akan dipelawa untuk menyokong dan melengkapi usaha Pemerintah membantu keluarga-keluarga rentan, sama seperti bagaimana kita saling membantu satu sama lain mengharungi pandemik COVID-19.

Untuk menangani cabaran-cabaran yang lebih rumit pada masa akan datang, Singapura memerlukan rangkaian pihak berkepentingan yang lebih padu untuk sama-sama membangunkan negara.

"Pemerintah juga akan melakukan lebih banyak lagi untuk menggembleng dan melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan. Golongan belia kita juga menunjukkan minat yang mendalam untuk mengambil tindakan dan memulakan perubahan terhadap isu-isu yang dekat di hati mereka," menurut Presiden Halimah.

Ini termasuk kesejahteraan mental dan kemampanan. Dan dengan cara sebegini, kompak sosial kita akan dapat disuntik dengan idea-idea baru.

"Kami akan memastikan Singapura kekal sebagai masyarakat terbuka dan inklusif,
di mana kami meningkatkan tahap kehidupan semua orang dengan peluang sepanjang hidup, dan di mana kita berinteraksi antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang kita," ujar Presiden Halimah.
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan