Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Halimah dan Presiden baru Korea Selatan Yoon Suk-yeol ingin perkukuh kerjasama dua hala

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah dan Presiden baru Korea Selatan Yoon Suk-yeol ingin perkukuh kerjasama dua hala

(Gambar: Chung Sung-Jun/POOL/AFP)

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob dan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara Singapura dengan Korea Selatan susuli pelantikan rasmi Presiden Yoon pada Selasa (10 Mei). 

Dalam satu kenyataan pada petang Selasa (10 Mei), Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan kedua-dua pemimpin mengenal pasti beberapa bidang kerjasama, termasuk pendigitalan, ketersambungan udara dan pertukaran penduduk. 

Presiden Yoon juga bersetuju untuk meneroka kemungkinan menambah lebih banyak penerbangan antara Singapura dengan Korea Selatan, menurut MFA. 

Presiden Halimah berada di Seoul untuk menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Presiden Yoon dan jamuan makan malam pada Selasa (10 Mei). 

Kedua-dua pemimpin itu juga mengalu-alukan Perjanjian Kerjasama Digital Korea-Singapura (KSDPA) yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Ia merupakan perjanjian ekonomi digital pertama yang dimeterai antara negara-negara Asia. 

Puan Halimah dan Presiden Yoon juga membincangkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP)serta minat Korea Selatan untuk menyertai perjanjian lain, termasuk Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Kerjasama Ekonomi Digital. 

MFA menyatakan Presiden Halimah "mengalu-alukan komitmen Presiden Yoon untuk memperluaskan kerjasama dengan ASEAN". 

Mengenai keadaan di Myanmar, kedua-dua pemimpin  bersepakat tentang keperluan "melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN dengan segera dan menyeluruh," menurut MFA. 

Presiden Halimah juga menegaskan komitmen Singapura untuk bekerjasama rapat dengan Korea Selatan dan masyarakat antarabangsa bagi tercapainya kedamaian dan kestabilan di Semenanjung Korea dan rantau ini, tambah MFA. 

Presiden Halimah dijadual pulang ke Singapura pada Rabu (11 Mei). 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan