Skip to main content

Singapura

Presiden Halimah bakal hadiri upacara persemadian negara Ratu Elizabeth II

Encik Eddie Teo, pengerusi Majlis Penasihat Presiden, akan menjalankan tanggungjawab Pejabat Presiden semasa Presiden Halimah menghadiri upacara tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah bakal hadiri upacara persemadian negara Ratu Elizabeth II

Orang ramai memberi penghormatan terakhir bersebelahan keranda Ratu Elizabeth II pada 15 Sep 2022. (Gambar: AFP/Odd Andersen)

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob akan menghadiri upacara persemadian negara Ratu Elizabeth II di London pada Isnin (19 Sep).

Beliau akan diiringi suaminya Encik Mohamed Abdullah Alhabshee serta para pegawai dari Pejabat Presiden dan Kementerian Ehwal Luar (MFA).

"Semasa Presiden Halimah berada di luar negara, Encik Eddie Teo, pengerusi Majlis Penasihat Presiden, akan menjalankan tanggungjawab Pejabat Presiden," menurut MFA dalam kenyataan medianya pada Jumaat.

Ratu Elizabeth II, yang menduduki takhta Diraja paling lama di Britain, meninggal dunia di kediamannya di Scotland pada 8 Sep, pada usia 96 tahun.

Beratus-ratus pemimpin dunia dan kerabat diraja luar negara dijangka akan menghadiri upacara persemadian negara itu, yang merupakan salah satu perhimpunan diplomatik terbesar sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Para pemimpin yang sudah mengesahkan kehadiran mereka termasuk Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Presiden Korea Selatan Yoon Suk-Yeol serta Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, yang negara mereka memiliki kedaulatan Britain sebagai ketua negara, juga dijangka akan menghadirinya.

Upacara persemadian itu dijangka bermula pada 11.00 pagi Isnin depan.

Pada sekitar 11.55 pagi, upacara meniup begol akan dimulakan, disusuli dengan negara bertafakur selama 2 minit .

Ia akan diakhiri dengan lagu kebangsaan dan Lament, yang melambangkan luahan kesedihan, pada sekitar waktu tengah hari.

Upacara persemadian privet akan diadakan pada lewat petang, dengan dihadiri oleh raja dan para anggota keluarga diraja.

Tempat persemadian terakhir ratu tersebut adalah di gereja kecil Raja George VI, di mana Ratu Elizabeth akan dimakamkan bersama dengan suaminya Putera Philip.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita