Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden Gotabaya Rajapaksa mendarat di S'pura selepas larikan diri dari Sri Lanka

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Gotabaya Rajapaksa mendarat di S'pura selepas larikan diri dari Sri Lanka

Mantan Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa. (Gambar: Ishara S Kodikara/AFP)

SINGAPURA: Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa tiba di Singapura pada lewat petang Khamis (14 Jul) dari Maldives selepas melarikan diri dari negaranya sehari sebelum itu. 

Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura mengesahkan dalam satu kenyataan media sejurus selepas pukul 8.00 malam bahawa Encik Rajapaksa memasuki Singapura atas  "lawatan peribadi".

"Beliau tidak meminta perlindungan suaka mahupun diberikan sebarang perlindungan suaka. Singapura secara amnya tidak meluluskan permintaan bagi mendapatkan perlindungan suaka," menurut seorang jurucakap MFA. 

Encik Rajapaksa dilaporkan tiba di Singapura dari Male sekitar pukul 7.20 malam melalui penerbangan Saudia 788. 

Laporan-laporan media sebelum ini menyatakan bahawa awal dari itu, beliau dijadual mendarat di Singapura pada pagi Khamis menaiki pesawat Singapore Airlines (SIA). Namun satu cawangan media Sri Lanka, yang menukil sumber-sumber dari Maldives, kemudian melaporkan Encik Rajapaksa dan isterinya tidak menaiki pesawat tersebut disebabkan oleh "keprihatinan keselamatan".

Warga Sri Lanka boleh melakukan perjalanan ke Singapura tanpa visa untuk lawatan singkat yang tidak melebihi 30 hari. 

Pesawat Boeing 787 Dreamliner Saudia dipercayai membawa Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa, isteri dan dua pengawal peribadinya tiba di Lapangan Terbang Changi di Singapura pada 14 Jul 2022. (Gambar: AFP)
TUNJUK PERASAAN

Bantahan besar-besaran mencengkam Sri Lanka, yang kini dihimpit krisis ekonomi paling dahsyat dalam tempoh beberapa dekad.

Encik Rajapaksa dituduh salah urus ekonomi Sri Lanka sehingga ke tahap negara itu kekeringan dana untuk membiayai kebanyakan import penting, lantas mengheret 22 juta penduduknya ke dalam kancah kesusahan.

Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya sebanyak AS$1 bilion (S$1.4 bilion) pada April dan kini sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Sri Lanka juga hampir kehabisan bekalan petrol dan pemerintah sudahpun mengarahkan penutupan pejabat tidak penting serta sekolah-sekolah.

Ribuan penunjuk perasaan antipemerintah menyerbu pejabat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe pada Rabu, beberapa jam selepas beliau dilantik selaku pemangku presiden. Mereka menuntuk agar Encik Wickremesinghe meletak jawatan kerana mereka menganggap beliau sebagai sekutu Encik Rajapaksa.

Polis dan pasukan keselamatan gagal mengawal para penunjuk perasaan meskipun setelah menyemburkan gas pemedih mata dan meriam air.

Awal dari itu, Sri Lanka mengisytiharkan keadaan darurat menyusuli tunjuk perasaan yang berlarutan selama berbulan-bulan.

Hujung minggu lalu, Encik Rajapaksa berikrar akan meletak jawatan pada Rabu (17 Jul) bagi membuka laluan kepada "peralihan kuasa secara aman".

Tokoh politik berusia 73 tahun itu meninggalkan kediaman rasminya di Colombo sebelum para penunjuk perasaan mencerobohinya.

Ribuan orang juga membakar kediaman peribadi Encik Wickremesinghe pada hujung minggu lalu.

Sebagai presiden, Encik Rajapaksa mempunyai kekebalan politik daripada diberkas di Sri Lanka.

Sehingga kini, masih tiada pengumuman rasmi yang beliau sudah meletak jawatan.

Hujung minggu lalu, Encik Wickremesinghe juga mengumumkan beliau sanggup mengundurkan diri sekiranya satu kata sepakat dapat dicapai untuk membentuk sebuah pemerintah perpaduan.
 
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan