Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden DPPMS sasar tambah anggota, bantu perniagaan tempuhi COVID-19

Terus membangunkan kemajuan masyarakat peniaga Melayu/Islam dan meningkatkan ekonomi mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Terus membangunkan kemajuan masyarakat peniaga Melayu/Islam dan meningkatkan ekonomi mereka.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) Farid Khan berkongsi wawasannya itu selepas dilantik semula bagi penggal kedua berkuat kuasa sehingga 2023.

Beliau juga menetapkan sasaran menambah jumlah keanggotaan baru sebanyak 30 peratus kepada 1,200 orang.

SASAR TAMBAH ANGGOTA

Jumlah anggota DPPMS sekarang ini sekitar 900, katanya yang dilantik semula dalam pemilihan pucuk pimpinan yang berlangsung pada Khamis (3 Jun).

"Kalau lebih banyak jumpa kami, banyak program yang kami ada, kami boleh kongsi bersama mereka juga. Jadi supaya jangan ketinggalan, seperti mana Pemerintah beri banyak bantuan, banyak bantuan pun melalui DPPMS," kongsi beliau.

BANTU PERNIAGAAN TEMPUHI COVID-19

Di tengah-tengah pandemik COVID-19, matlamat DPPMS kata Encik Farid ialah membantu anggotanya memantapkan perniagaan mereka mengikut norma baru, supaya lebih sedia bersaing pasca pandemik.

"Sekarang kita sedang bersedia kalau keadaan menjadi endemik ataupun makin membaik, jadi perniagaan akan membaik, Bagaimana untuk memajukan perniagaan mereka, bagaimana nak keluar negeri, bagaimana DPPMS boleh bantu orang-orang yang pertama kali hendak mula berniaga," kata beliau.

Usaha tersebut disokong barisan anggota lembaga pengarah yang sudah lama berpengalaman dalam bidang perniagaan masing-masing.

MUKA-MUKA BARU

Barisan anggota Lembaga Pengarah biasa DPPMS. (Gambar: DPPMS/Facebook)

Tiga muka baru mengukuhkan lagi pasukan itu, antaranya Pengarah Eksekutif syarikat kejuruteraan, STIE Pte Ltd, Cik Maslina Mohamed, 48 tahun.

"Saya adalah seorang wanita yang bekerja dalam sektor yang didominasi lelaki. Tujuan utama saya adalah untuk memperkenalkan industri ini kepada kaum wanita dan pada mereka yang berminat untuk berniaga dan memberi khidmat dalam industri ini," ujar beliau.

Pengarah syarikat muatan dan logistik IndoBox Pte Ltd, Encik Iman Yusoff, 45 tahun, pula ingin meningkatkan keyakinan peniaga muda dalam industri perniagaan.

"Banyak peniaga-peniaga muda, mereka mudah untuk putus asa. Saya rasa bahawa saya ada cerita untuk disampaikan kepada mereka bagaimana kita boleh maju tanpa putus asa. Sumbangan saya kepada DPPMS,adalah untuk meningkatkan perniagaan syarikat-syarikat baru," kata beliau.

Kepimpinan yang baru ini membolehkan DPPMS melakarkan lebih banyak program untuk membangunkan terus masyarakat peniaga Melayu/Islam mencapai kemajuan.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan