Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Presiden baru SG mesti saling kerjasama dengan pemerintah: George Goh

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Presiden baru Singapura mesti bekerjasama dengan pemerintah demi kebaikan negara, ujar bakal calon Pilihan Raya Presiden 2023 George Goh pada Selasa (20 Jun). Beliau menambah bahawa tidak boleh wujud "dua pusat kuasa".

"Bolehkah anda bayangkan jika ... Presiden dan Perdana Menteri tidak saling bekerjasama? Ia akan mencetuskan banyak masalah bagi sebuah negara yang kecil," katanya kepada wartawan di Pasar Holland Drive.

"Sesiapa yang menjadi (Presiden), saya akan mengatakan perkara yang sama, bekerja bersama pemerintah."

Menyifatkan pejabat Perdana Menteri sebagaikan minda manakala Presiden sebagai nadi, Encik Goh menambah bahawa kedua-duanya mesti saling berfungsi satu sama lain.

"Perdana Menteri yang dipilih oleh rakyat, anda mesti mempercayainya. Beliau melantik Kabinetnya, beliau memimpin AP, anda mesti mempercayainya," katanya.

Encik Goh, seorang ahli perniagaan, berkata demikian selang seminggu selepas beliau menarik perhatian bahawa "sekarang masanya untuk mengundi seorang calon bebas".


Orang ramai ingin seorang calon bukan dari dalam pemerintah, dedahnya pada 13 Jun selepas mengambil borang kelayakan dari Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Apabila diminta untuk mengulas satu hantaran Facebook oleh isteri Perdana Menteri, Ho Ching, yang mengatakan bahawa peranan Presiden bukan sebagai satu suara bebas atau untuk memeriksa pemerintah, Encik Goh menjelaskan pada Selasa bahawa seorang calon "bebas" adalah seorang yang bukan dari mana-mana parti politik, bukan sebahagian daripada sesebuah lembaga mana-mana syarikat yang berkaitan dengan pemerintah atau terlibat dalam Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC).

Beliau menambah bahawa calon sedemikian akan mempunyai dua fungsi utama selaku Presiden - untuk memelihara rizab dan pelantikan pemegang jawatan utama.

Sebagai seorang calon bebas, Encik Goh menyatakan bahawa beliau mampu melaksanakan peranan itu dengan lebih baik. Beliau malah, menambah bahawa beliau mempunyai hubungan kerja yang baik dengan orang lain, misalnya apabila beliau bekerja dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) semasa tempohnya menyandang jawatan sebagai duta khas Singapura ke Maghribi.

Encik Goh merupakan pengasas Harvey Norman Ossia dan pengerusi Ossia International, sebuah syarikat pemegang pelaburan yang disenaraikan dalam Bursa Singapura.

Beliau mengumumkan hasrat untuk ikut bertanding bagi jawatan tertinggi negara itu awal bulan ini, sekali gus menjadi bakal calon kedua untuk tampil selepas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.

Presiden Halimah Yacob memutuskan untuk tidak bertanding bagi Pilihan Raya Presiden 2023. Penggalnya akan berakhir pada 13 September.

MAKLUMAT "PALSU YANG KIAN MENINGKAT"

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, pasukan media Encik Goh sedia maklum mengenai "lonjakan maklumat salah serta palsu" berhubung Encik Goh yang tersebar online dan di platform-platform pemesejan sejak pengumumannya untuk ikut bertanding.

Mereka menekankan bahawa Encik Goh bukan seorang ahli mana-mana parti politik seperti Persatuan Rakyat atau mana-mana akar umbi.


Pasukan medianya juga mendedahkan bahawa terdapat sebuah akaun Twitter palsu yang kononnya diwujudkan oleh Encik Goh, sambil menambah bahawa mereka sudah meminta Twitter menghapuskan akaun palsu tersebut.

"Encik Goh meluahkan rasa sedih dan kecewa yang mendalam atas percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada isu utama kempennya dan menjejas kredibilitinya sebagai seorang pesaing serius bagi jawatan Presiden," menurut pasukannya itu.

"Bagaimanapun, beliau berterima kasih atas sokongan yang tidak henti-henti yang diberikan keluarga serta penyokong dan terus tegar dan komited untuk tampil sebagai seorang calon bagi Pilihan Raya Presiden akan datang, untuk berkhidmat untuk Singapura."

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan