Presiden baru 4PM berhasrat kukuhkan lagi rangkaian dengan pertubuhan lain
Presiden baru Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) Nassar Mohamad Zain, ingin mengukuhkan lagi kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain, di samping melakarkan program-program baru berteraskan nilai-nilai penting masyarakat.
SINGAPURA: Presiden baru Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) Nassar Mohamad Zain, ingin mengukuhkan lagi kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain, di samping melakarkan program-program baru berteraskan nilai-nilai penting masyarakat.
"4PM perlu bersikap terbuka. Jadi kolaborasi bersama badan-badan lain, termasuk badan-badan Melayu/Islam (MMO) sangat penting. Untuk tiga perkara, tiga sebab," kata Encik Nassar.
Perjalanan beliau di dalam 4PM bermula sejak 2008. Selepas menjadi sukarelawan selama empat tahun, beliau menjadi anggota jawatankuasa pengurusan 4PM sebelum dilantik menjadi Naib Presiden dari 2016 hingga 2020.
Mengulas lebih lanjut, Encik Nassar berkata ada tiga sebab mengapa 4PM ingin mengukuhkan rangkaian dengan MMO lain. Pertama sekali kata beliau, ia akan membolehkan pertubuhan-pertubuhan bertukar-tukar pendapat, pengalaman, pengetahuan dan berkongsi tenaga sukarelawan.

Encik Nassar bersama para sukarelawan 4PM pada 2019. (Gambar fail: 4PM/Facebook)
"Yang kedua, kalau boleh kita juga mahu elakkan duplikasi dalam aktiviti kemasyarakatan. Yang ketiga kita berpegang teguh dengan peribahasa 'Bulat air kerana pembetung, bulat suara kerana muafakat'. Saya sepasukan mahu mengeratkan lagi silaturrahim bersama rakan-rakan lama dan baru," tambah beliau.
SEKILAS TENTANG PERUBAHAN KEPIMPINAN 4PM
4PM pada Sabtu (24 Jul) mengumumkan perubahan dalam pucuk pimpinan persatuan itu selepas Mesyuarat Agung Tahunannya.
Terakhir kali 4PM mempunyai presiden baru adalah pada 1990. Presiden yang ke-15, Encik Izzuddin Taherally, merupakan pemimpin yang paling lama berkhidmat dengan 4PM. Beliau memegang jawatan sebagai presiden persatuan itu selama 31 tahun.

(Gambar fail: 4PM/Facebook)
Di bawah kepimpinannya, 4PM menganjurkan pelbagai program pembangunan untuk golongan belia.
Antara lain adalah Bestari ITE yang sudah memperkasa lebih 30,000 pelajar ITE untuk mengecap kejayaan, serta pertandingan Bahas 4PM yang rasmi menjadi pertandingan bahas dalam Bahasa Melayu bagi para pelajar sekolah menengah dan prauniversiti.
4PM juga giat menganjurkan inisiatif membantu golongan memerlukan termasuk acara tahunan Roda-Roda Ramadan.

Sebelum tercetusnya pandemik COVID-19, ia mempunyai lebih 1,200 sukarelawan.
Mengulas tentang perubahan pucuk pimpinan 4PM, Encik Izzuddin berkata beliau yakin 4PM dalam jagaan yang baik dan akan terus memainkan peranan penting pada tahun-tahun mendatang.
Para pemimpin muda 4PM kata beliau, sudah dipupuk dan didedahkan kepada pelbagai tanggungjawab.
LEBIH 60% ANGGOTA JAWATANKUASA ORANG MUDA
Dalam pengumumannya pada Sabtu (24 Jul), 4PM turut mendedahkan dua pertiga anggota jawatankuasa pengurusannya adalah golongan belia dan purata usia mereka adalah 32 tahun.

"Secara amnya perubahan kepimpinan sememangnya penting untuk setiap badan ataupun alam korporat. Secara khususnya di 4PM, kepimpinan yang terdahulu merasakan, sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada generasi muda untuk mengambil alih amanah dan menyuntik sedikit kesegaran di dalam 4PM untuk mengharungi cabaran-cabaran pasca-COVID-19," ulas Encik Nassar.
Lulusan sarjana dalam bidang seni bina dari Universiti Nasional Singapura itu menambah, beliau akan terus berpegang pada nilai dan semangat muafakat seperti dalam cogan kata 4PM iaitu 'Bersatu dan Berkhidmat'.
"Ini penting untuk memajukan masyarakat dan menunjuk satu teladan buat belia kita supaya kita bersatu hati dalam berkhidmat kepada masyarakat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.