Presiden badan perubatan bimbang Great Eastern gantung sijil prakebenaran kemasukan ke Mount Elizabeth
Keputusan Great Eastern menggantung pengeluaran sijil prakebenaran bagi pemegang polisi yang dimasukkan ke hospital-hospital Mount Elizabeth boleh menjejas "kesinambungan penjagaan" pesakit, kata presiden Persatuan Perubatan Singapura (SMA).
Logo Great Eastern dan Hospital Mount Elizabeth. (Imej: Google Street View)
Dr Ng Chee Kwan memberitahu Mediacorp bahawa tindakan syarikat insurans itu mengehadkan pilihan doktor bagi para pemegang polisi dan tidak menggalakkan mereka mendapatkan khidmat daripada kedua-dua hospital berkenaan.
Doktor-doktor lain yang mempunyai klinik di dua hospital yang terjejas itu juga menyuarakan keprihatinan terhadap keputusan Great Eastern.
Pada Selasa lalu (17 Jun), syarikat insurans itu berhenti mengeluarkan sijil prakebenaran bagi kemasukan ke hospital Mount Elizabeth di Orchard dan Novena, sambil menukil "usaha bagi menangani kos jagaan kesihatan yang meningkat dan memastikan kemampuan jangka panjang bagi semua pemegang polisi".
Menurut Great Eastern, ia mendapati hospital-hospital swasta tertentu "mengenakan bayaran lebih tinggi bagi rawatan yang serupa" sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Prakebenaran merujuk kepada kelulusan yang diberikan oleh syarikat insurans untuk memberi perlindungan bagi kos perubatan sebelum rawatan dilakukan.
Ia mengurangkan jumlah wang deposit yang diperlukan bagi kos-kos tertentu seperti perbelanjaan hospital dan pembedahan, yuran doktor, ujian yang dijalankan di hospital dan rawatan luar pesakit tertentu.
Bil-bil yang diberikan kelulusan dahulu dilunaskan secara langsung oleh syarikat insurans dengan pihak hospital.
Tanpa mendapatkan prakebenaran, para pesakit perlu membayar untuk rawatan itu dahulu sebelum memfailkan tuntutan bagi penilaian.
Dr Ng yang merupakan salah seorang panel pakar Great Eastern dan mempunyai klinik di Mount Elizabeth Novena berkata: "Kerana pelan perlindungan bersepadu tidak dapat dialihkan, ramai pemegang polisi mungkin tidak dapat menukar syarikat insurans walaupun jika mereka berasa tidak berpuas hati."
Menurutnya, syarikat insurans itu sudah pun "menjalin perkongsian dengan beberapa hospital" tahun ini.
"Walaupun saya boleh masukkan pesakit ke hospital-hospital terpilih (Great Eastern), bagi kes-kes besar ia tidak begitu sesuai," katanya.
Beliau menambah bahawa salah satu kemudahan pilihan syarikat insurans itu tidak dilengkapi dengan peralatan yang diperlukan oleh sesetengah pembedahan utama yang beliau lakukan.
Sementara itu, Dr Tan Yung Khan, seorang pakar urologi yang mempunyai klinik di hospital-hospital Mount Elizabeth dan Hospital Mount Alvernia berkata langkah yang diambil oleh syarikat insurans itu bermakna kurang ketidakpastian bagi para pesakit tentang sama ada tuntutan mereka akan diluluskan.
"Kekurangan kepastian ini akan membeban fikiran pesakit dan tidak menggalakkan mereka mendapatkan rawatan di hospital-hospital tertentu," katanya.
RESPONS GREAT EASTERN
Dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, Great Eastern menyatakan pada Khamis bahawa penggantungan itu tidak menjejas perlindungan mahupun faedah para pemegang polisi.
"Para pelanggan masih boleh pilih untuk ke kedua-dua hospital itu," ia menyatakan.
Bagi prosedur atau pembedahan yang dirancang, hospital-hospital yang terjejas boleh mengeluarkan surat jaminan elektronik, yang boleh digunakan untuk meminta pengecualian deposit sewaktu kemasukan ke hospital, menurut Great Eastern.
Surat jaminan itu mengurangkan atau mengecualikan bayaran deposit yang perlu dibuat sebelum melakukan rawatan dan memberi jaminan bayaran kepada hospital bagi sebahagian daripada bil hospital.
Ia berbeza berbanding sijil prakebenaran.
Great Eastern menambah para pelanggan tetap boleh memfailkan tuntutan untuk dinilai, dan semua tuntutan yang layak dan dalam perlindungan akan dibayar.
Syarikat insurans itu masih mengeluarkan sijil prakebenaran bagi rawatan di hospital-hospital swasta lain seperti Mount Alvernia, Farrer Park, Gleneagles dan Raffles.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.