Skip to main content

Singapura

Presiden arah buka semula kotak undi GE2020 untuk ambil dokumen 'tertinggal' di dalamnya

Presiden Halimah Yacob mengarahkan sebuah kotak undi dari Pilihan Raya Umum Julai 2020, dibuka semula supaya satu dokumen yang "tanpa sengaja" dimasukkan ke dalam kotak itu dapat diambil.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden arah buka semula kotak undi GE2020 untuk ambil dokumen 'tertinggal' di dalamnya

(Gambar fail: TODAYonline)

Diterbitkan : 05 Oct 2020 09:57PM Dikemas Kini : 05 Oct 2020 10:04PM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob mengarahkan sebuah kotak undi dari Pilihan Raya Umum Julai 2020, dibuka semula supaya satu dokumen yang "tanpa sengaja" dimasukkan ke dalam kotak itu dapat diambil.

Dokumen tersebut adalah salinan daftar pengundi bagi kawasan undi PN23 di GRC Pasir Ris-Punggol.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin (5 Okt), Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan seorang pegawai pilihan raya di pusat kiraan undi di Sekolah Rendah Elias Park "secara tidak sengaja" meletakkan dokumen itu ke dalam kotak yang berisi kertas undi yang sudah dikira dan dokumen lain.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, ELD menyatakan hal itu disahkan setelah diperiksa dengan petugas pilihan raya bagi daerah PN23 apabila daftar tersebut tidak dikembalikan.

Kotak-kotak undi kini ditutup rapi dan disimpan di Mahkamah Tinggi.

Dokumen yang dimaksudkan, itu merupakan daftar pengundi yang layak di divisyen pilihan raya tersebut yang mengundi pada 10 Jul. Ia diperlukan untuk menunjukkan pengundi berdaftar yang tidak mengundi pada hari itu.

DOKUMEN DIKELUARKAN PADA ATAU SELEPAS 10 JAN 2021

Di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen, kotak undi yang ditutup rapi harus disimpan selama enam bulan selepas pilihan raya dan hanya boleh dibuka semasa tempoh ini "untuk tujuan memulakan atau mempertahankan pendakwaan atau permohonan membatalkan pilihan raya".

Menurut ELD, Puan Halimah telah mengarahkan Pegawai Pilihan Raya untuk mengambil salinan daftar pengundi itu pada atau selepas 10 Januari 2021. ELD menambah bahawa daftar itu mesti diambil sebelum kotak undi dimusnahkan.

"Presiden juga telah mengarahkan agar salinan daftar pemilih ... dimusnahkan oleh Pegawai Pilihan Raya selewat-lewatnya 30 hari dari tarikh ia diambil," kata ELD.

Di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen, semua kotak undi yang ditutup rapi harus disimpan dalam jagaan yang selamat sebelum dimusnahkan pada akhir tempoh enam bulan selepas hari mengundi, pada 10 Jan 2021.

NAMA MEREKA TIDAK MENGUNDI AKAN DIKELUARKAN DARI DAFTAR PENGUNDI

ELD menyatakan disebabkan pengambilan dokumen tersebut tertangguh, nama-nama orang yang layak tetapi tidak mengundi di daerah mengundi PN 23 di GRC Pasir Ris-Punggol hanya akan diterbitkan kemudian.

Nama semua individu lain yang tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum 2020 kini tersedia untuk diperiksa di Jabatan Pilihan Raya, pusat atau kelab masyarakat yang diperuntukkan, atau kedutaan luar negara Singapura yang berfungsi sebagai pusat mengundi luar negara, kata ELD.

Warga Singapura juga boleh memeriksa status pengundi mereka di laman web ELD atau di aplikasi SingPass Mobile.

Di bawah Seksyen 43 Akta Pilihan Raya Parlimen, nama-nama mereka yang layak tapi tidak mengundi telah dikeluarkan daripada daftar pengundi, kata ELD. Mereka tidak akan dapat mengundi atau bertanding sebagai calon pada pilihan raya akan datang sehingga nama mereka dimasukkan semua.

Mereka yang layak tetapi tidak mengundi pada pilihan raya tahun ini atau pilihan raya sebelumnya boleh memohon untuk memasukkan semula nama mereka ke daftar pengundi jika mereka ingin mengundi pada pilihan raya seterusnya, kata ELD.

Tambahnya mereka digalakkan untuk memohon lebih awal kerana ELD tidak akan dapat memasukkan semula nama mereka dari tarikh Writ pilihan raya dikeluarkan, sehingga setelah Hari Penamaan Calon jika pilihan raya tidak dipertandingkan, atau hingga setelah Hari Mengundi jika pilihan raya dijalankan.

Namun, bagi mereka yang tidak mengundi akibat kuarantin COVID-19 atau notis jangan keluar rumah pada 10 Jul, mereka berhak untuk memasukkan semula nama mereka ke dalam daftar pengundi secara percuma .

"Mereka tidak perlu membuat permohonan kerana Pegawai Pendaftaran akan membuatnya secara automatik," kata ELD.

Bagi mereka yang tidak mengundi kerana diberi sijil perubatan dan diarah untuk tidak meninggalkan tempat kediaman mereka pada 10 Jul, nama mereka juga akan dimasukkan semula setelah membuat permohonan tanpa didenda.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita