Premium MediShield Hayat lebih tinggi sedang pemerintah perluas skim insurans kesihatan

(Gambar hiasan: iStock/LIgorko)
SINGAPURA: Premium MediShield Hayat akan meningkat mulai April 2025 sedang pemerintah memperluaskan skim insurans kesihatan nasional.
Ini menyusuli semakan skim insurans oleh Majlis MediShield Hayat. Ia menyeru agar had tuntutan dinaikkan untuk melindungi rakyat Singapura dengan lebih baik daripada bil perubatan yang tinggi dan memperluaskan perlindungan untuk membantu pesakit mendapatkan jenis jagaan dan rawatan baharu.
Dengan tuntutan yang lebih tinggi dan perlindungan lebih meluas, premium mungkin naik sebanyak 35 peratus. Kenaikan itu akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun dari April tahun depan hingga Mac 2028.
Dengan ini, premium akan naik secara purata 22 peratus bagi setiap pemegang polisi menjelang hujung tahun ketiga, menurut laporan majlis itu, yang diterbitkan pada Selasa (15 Okt).
Untuk membiayainya, majlis itu mengesyorkan pengeluaran sekali sahaja sekitar S$600 juta daripada Dana MediShield Hayat untuk menghadkan jumlah kenaikan premium pada 35 peratus dan membahagikannya secara sama rata.
APAKAH MANFAAT BAHARU ITU?
Premium yang lebih tinggi itu akan menyokong perubahan pada skim MediShield Hayat.
Berikut beberapa manfaat baharu:
1. Had tuntutan yang lebih tinggi untuk pesakit yang dirawat di hospital dan pembedahan siang hari.
2. Menaikkan had tuntutan polisi setahun daripada S$150,000 kepada S$200,000.
- Majlis menyatakan bahawa sangat sedikit pesakit - kira-kira 50 setahun - yang sekarang ini melebihi had tuntutan polisi setahun dan bahawa kes ini sebahagian besarnya disebabkan mereka berada di hospital dalam tempoh berpanjangan. Meningkatkan had ini akan memberikan lebih banyak jaminan kepada pesakit sedemikian dengan bil yang mempunyai bil lebih tinggi.
3. Naikkan jumlah yang perlu dibayar pesakit terlebih dahulu sehingga S$1,500.
- Ini tidak diselaraskan sejak skim itu diperkenalkan pada 2015. Dengan bil perubatan lebih tinggi, majlis itu menyatakan jumlah yang perlu dibayar pesakit terlebih dahulu menjadi kurang berkesan untuk menyaring bil yang lebih rendah dan lebih dimampui yang boleh dibayar melalui MediSave. Menaikkan jumlah jumlah yang perlu dibayar pesakit terlebih dahulu membolehkan MediShield Hayat menumpukan perlindungannya kepada bil perubatan yang lebih besar dan menyederhanakan kenaikan jumlah premium.
4. Kemas kini had tuntutan pesakit luar sedia ada dan kurangkan kos insurans bersama pesakit luar daripada 10 peratus untuk semua kepada struktur berperingkat antara 3 peratus hingga 10 peratus.
5. Meluaskan perlindungan untuk meliputi rawatan baharu bagi pesakit luar dan rawatan perubatan di rumah.
6. Memperkenalkan jumlah baharu sebanyak S$500 setahun yang perlu dibayar pesakit luar terlebih dahulu.
- Jumlah yang perlu dibayar pesakit terlebih dahulu bagi rawatan di hospital juga akan dikira dalam jumlah yang perlu dibayar terlebih dahulu bagi rawatan pesakit luar dan sebaliknya. Sebagai contoh, jika pesakit membayar S$500 terlebih dahulu bagi rawatan di hospital, dia sudah memenuhi jumlah yang perlu dibayar terlebih dahulu bagi rawatan pesakit luar bagi polisi setahun.
7. Perluas perlindungan kepada rawatan kos tinggi baharu yang berkesan dari segi klinikal dan kos.
- Ini termasuk rawatan meliputi produk terapi gen, sel dan tisu (CTGTP) Kementerian Kesihatan (MOH), serta ubat kos tinggi untuk keadaan darah seperti hemofilia dan keadaan yang muncul semasa kanak-kanak
.
Menjelaskan perubahan itu, majlis tersebut menyatakan bil perubatan yang meningkat menghakis perlindungan had tuntutan sedia ada, yang kini hanya menampung secara keseluruhan, kurang daripada lapan dalam 10 bil bersubsidi.
Ini adalah lebih rendah daripada sembilan dalam 10 bil bersubsidi yang direka untuk dilindungi sepenuhnya oleh skim itu.
Akibatnya, lebih ramai pesakit dengan bil yang besar perlu membayar sebahagian daripada ini secara tunai, menurut laporan itu.
Had tuntutan baharu sepatutnya mengembalikan skim itu kepada mandat asalnya iaitu memberi subsidi sepenuhnya kepada sembilan daripada 10 bil.
Selain itu, dengan tumpuan bagi penyampaian jagaan kesihatan beralih daripada sekitaran hospital kepada rawatan luar hospital, dalam masyarakat dan di rumah, majlis itu menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan akses pesakit kepada rawatan luar hospital dan jagaan di rumah yang selamat dan boleh dimampui.
PAKEJ PEMERINTAH IMBANGI KENAIKAN PREMIUM
Dalam kenyataan media pada Selasa, MOH menyatakan pemerintah menerima cadangan majlis itu, sambil menambah bahawa ia akan mempertingkat skim untuk melindungi rakyat Singapura dengan lebih baik daripada episod-episod besar kesihatan yang membawa kepada bil perubatan yang tinggi.
MOH menyatakan bahawa pemerintah akan menyesuaikan had pengeluaran MediSave supaya pesakit boleh menggunakan MediSave untuk menampung kos insurans bersama dan jumlah, yang disemak semula, yang perlu dibayar pesakit terlebih dahulu.
Manfaat MediShield Hayat dan had MediSave yang disemak akan dilaksanakan secara berperingkat mulai April tahun depan, bersama-sama dengan fasa pertama kenaikan dalam jumlah yang perlu dibayar terlebih dahulu oleh pesakit yang dirawat di hospital sebelum menerima bayaran daripada insurans.
Jumlah yang perlu dibayar terlebih dahulu oleh pesakit luar akan diperkenalkan pada 1 Januari 2026, diikuti dengan fasa kedua kenaikan jumlah yang perlu dibayar terlebih dahulu oleh pesakit yang dirawat di hospital pada 1 April 2027. Semua perubahan lain akan dibuat secara berperingkat mulai 1 April tahun depan.
Untuk mengurangkan kesan premium yang lebih tinggi ke atas rakyat Singapura, pemerintah akan menyediakan tambahan S$4.1 bilion dalam langkah sokongan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pakej ini terdiri daripada tokokan S$3.4 bilion MediSave dan S$0.7 bilion dalam subsidi premium.
Sebagai sebahagian daripada ini, subsidi premium akan dinaikkan sebanyak lima hingga 10 peratusan mata untuk rakyat Singapura berpendapatan rendah dan sederhana dalam kumpulan umur yang lebih tua. Mulai 1 April 2025, mereka akan dapat menerima subsidi premium sehingga 60 peratus, naik daripada had semasa sebanyak 50 peratus.
Tokokan tahunan MediSave untuk Generasi Perintis juga akan dinaikkan sehingga S$300, menjadikan tokokan tahunan maksimum kepada S$1,200.
Bagi warga Singapura yang lahir pada 1973 atau lebih awal, bonus MediSave pakej Majulah sekali sahaja sehingga S$1,500 - yang pertama kali diumumkan pada Ogos tahun lalu - akan dinaikkan sebanyak S$500. Ini akan dibayar pada bulan Disember.
Sementara itu, bonus MediSave tambahan sebanyak S$500 akan diberikan pada 2025 kepada sesetengah warga emas yang lahir antara 1950 dengan 1973 yang mungkin tidak dapat mengumpul simpanan yang mencukupi dalam akaun MediSave mereka untuk membantu menampung kenaikan premium.
Bagi bayi baru lahir, geran MediSave akan dinaikkan daripada S$4,000 kepada S$5,000 mulai 1 April 2025.
Akhir sekali, bagi warga Singapura yang lahir antara 1974 dengan 2003, bonus MediSave sekali sahaja sehingga S$300 – yang diumumkan dalam Belanjawan tahun ini – akan dinaikkan sebanyak S$200. Ini akan dibayar pada bulan Disember.
Menurut MOH, untuk lebih sembilan daripada 10 rakyat Singapura, tambahan tokokan MediSave, subsidi dan sokongan akan "lebih daripada mengimbangi" kumulatif S$1.8 bilion premium tambahan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
TEBUS DISKAUN PREMIUM GUNA MARKAH KESIHATAN
Untuk menyokong inisiatif Sg Lebih Sihat, pemegang polisi berumur 40 tahun dan ke atas boleh menebus diskaun premium MediShield Hayat melalui aplikasi Healthy 365 Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Kadar penukaran ialah 150 mata kesihatan atau 'Healthpoints' kepada S$2, naik daripada kadar biasa S$1. Program ini akan bermula pada suku ketiga tahun depan dan akan dirintis selama tiga tahun.
MOH menyatakan pemerintah akan mengkaji semula hasil program perintis itu sebelum memutuskan sama ada untuk menjadikannya ciri kekal MediShield Hayat.
Mulai Oktober tahun depan, pemerintah juga akan melanjutkan perlindungan MediShield Hayat dan MediSave kepada produk terapi sel, tisu dan gen (CTGTP) yang berada dalam senarai MOH.
Memandangkan kos CTGTP yang tinggi, MOH menyatakan had Medishield Hayat dan MediSave akan disesuaikan untuk menampung sepenuhnya dua daripada tiga pesakit bersubsidi pada mulanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.