Premium COE Kategori A cecah paras rekod S$139,001 dalam bidaan terkini
Pemandangan lalu lintas di Singapura. (Gambar arkib: Hester Tan)
- In Singapore’s COE bidding exercise on Wednesday, Nov 4, the Category A premium hit a record S$139,001, while Category B and the Open Category rose slightly; commercial vehicle premiums remained at S$92,000 and motorcycle premiums fell to S$10,689.
- Of 4,722 bids, 3,259 certificates were allocated. The LTA attributed persistently high prices to demand for mass-market electric vehicles and the possible impact of the car show on Oct 24 and 25.
- The LTA urged buyers and dealers to exercise caution, and set the quota for November 2026 to January the following year at 1.1 per cent higher, with changes varying by category.
- The LTA proposed merging car Categories A and B, accompanied by rebates and surcharges based on open market value, as the premium gap narrows and electric technology weakens the old criteria. A majority of consultation participants supported the proposal, but Minister Jeffrey Siow said no decision had been finalised.
- Dalam bidaan COE Singapura pada Rabu, 4 November, premium Kategori A mencatat rekod S$139,001, manakala Kategori B dan terbuka meningkat sedikit; kenderaan komersial kekal S$92,000 dan motosikal turun kepada S$10,689.
- Daripada 4,722 bidaan, 3,259 sijil diperuntukkan; LTA mengaitkan harga yang kekal tinggi dengan permintaan kenderaan elektrik pasaran massa dan kemungkinan kesan pameran kereta pada 24–25 Oktober.
- LTA menggesa pembeli serta pengedar supaya berhati-hati, dan menetapkan kuota November 2026 hingga Januari tahun berikutnya meningkat 1.1 peratus, dengan perubahan berbeza mengikut kategori.
- LTA mencadangkan penggabungan kategori kereta A dan B, disertai rebat serta surcaj berasaskan nilai pasaran terbuka, kerana jurang premium mengecil dan teknologi elektrik melemahkan kriteria lama; majoriti peserta konsultasi menyokong cadangan itu, tetapi Menteri Jeffrey Siow berkata keputusan belum dimuktamadkan.
SINGAPURA: Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kereta Kategori A mencatat paras tertinggi dalam sejarah pada bidaan terkini hari Rabu (4 Nov).
Bagi kereta Kategori A — iaitu kenderaan dengan kapasiti enjin 1,600cc ke bawah dan kuasa kuda tidak melebihi 130bhp — premium tersebut ditutup pada harga S$139,001, meningkat 5.3 peratus berbanding S$132,004 pada bidaan lalu.
Premium bagi kereta yang lebih besar dan lebih berkuasa dalam Kategori B meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada S$132,334, berbanding S$131,901.
COE bagi kenderaan komersial, yang merangkumi kenderaan muatan dan bas, kekal pada paras S$92,000, sama seperti dalam sesi bidaan sebelum ini.
Premium bagi motosikal ditutup pada S$10,689, turun 0.8 peratus daripada S$10,778 dalam bidaan sebelum ini.
Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kategori terbuka — yang boleh digunakan untuk sebarang jenis kenderaan tetapi kebanyakannya digunakan untuk kereta bersaiz besar — meningkat 0.2 peratus kepada S$135,998, berbanding S$135,790.
Sebanyak 4,722 bidaan telah diterima, dengan kuota sebanyak 3,259 COE diperuntukkan.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan bahawa harga COE kekal tinggi, kemungkinan besar disebabkan oleh permintaan yang kukuh terhadap kenderaan elektrik pasaran massa yang layak di bawah Kategori A.
LTA menambah bahawa pameran kereta yang diadakan baru-baru ini pada 24 dan 25 Oktober mungkin telah menyumbang kepada peningkatan permintaan sepanjang tempoh tersebut.
"Kami menggesa para pembeli dan pengedar supaya berhemat semasa membida COE," kata jurucakap LTA.
LTA menyatakan pada minggu lalu bahawa kuota COE bagi tempoh November 2026 hingga Januari tahun depan akan meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 19,298, dengan kuota bagi kereta Kategori B meningkat kira-kira 3.3 peratus.
Kuota bagi kereta Kategori A kekal tidak berubah, manakala kuota bagi Kategori C dan Kategori E masing-masing akan meningkat kira-kira 2 peratus dan kira-kira 3.7 peratus. Kuota motosikal di bawah Kategori D pula akan berkurangan kira-kira 2 peratus.
PINDAAN DISARANKAN TERHADAP SISTEM COE
Singapura sedang menimbangkan pindaan terhadap sistem COE menyusuli cadangan daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menggabungkan Kategori A dan B bagi kereta menjadi satu kategori tunggal, dengan surcaj serta rebat yang ditentukan berdasarkan nilai pasaran terbuka sesebuah kenderaan.
Pindaan yang dicadangkan ini berpunca daripada jurang harga premium COE antara Kategori A dan B yang semakin mengecil.
Secara tradisinya, kedua-dua kategori ini membahagikan pasaran kereta kepada model yang lebih kecil dan kurang berkuasa, serta model yang lebih besar dan lebih berkuasa, berdasarkan kapasiti enjin dan kuasa kenderaan.
Namun, kemajuan dalam teknologi kenderaan —terutamanya dengan kemunculan kenderaan elektrik — telah menjadikan kriteria ini kurang berkesan. Selain itu, pengeluar kenderaan kini semakin berkemampuan untuk melaraskan spesifikasi kenderaan agar menepati ambang yang ditetapkan bagi Kategori A sedia ada.
Ini telah meningkatkan persaingan dalam Kategori A dan merapatkan jurang harganya dengan Kategori B. Premium bagi Kategori A telah melebihi premium bagi Kategori B sebanyak tiga kali antara bulan Februari dan Jun tahun ini.
Sesi perundingan awam bagi skim yang dicadangkan itu berakhir pada Isnin, dengan majoriti responden menyokong pengenalan rebat dan surcaj.
Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow memberitahu parlimen pada Selasa bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) masih meneliti maklum balas yang diterima selepas sesi perundingan itu berakhir pada Isnin, dan belum lagi membuat keputusan muktamad mengenai pindaan yang akan dilaksanakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.