Premium COE ditutup lebih tinggi; harga Kategori A cecah S$118,000
Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup lebih tinggi bagi semua kategori dalam sesi bidaan terkini pada Rabu (8 Apr).
Gambar fail: Jeremy Long/CNA
Harga COE bagi Kategori A, yang digunakan bagi kereta kecil, menyaksikan kenaikan peratusan tertinggi.
Premium COE bagi kategori tersebut naik 5.5 peratus, iaitu meningkat daripada S$111,890 kepada S$118,000 dalam bidaan terkini.
Premium COE bagi kenderaan lebih besar dan berkuasa dalam Kategori B meningkat daripada S$115,568 kepada S$121,000.
COE bagi kenderaan komersial yang termasuk kenderaan barangan dan bas, juga meningkat daripada S$78,000 kepada S$80,001 dalam bidaan terkini.
Premium motosikal ditutup pada S$10,000, naik daripada S$9,589 dalam sesi sebelumnya.
COE Kategori Terbuka, yang boleh digunakan untuk mana-mana jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan untuk kereta besar, naik kepada S$121,001 daripada S$118,119 dalam bidaan sebelumnya.
Sebanyak 5,614 bidaan diterima dengan kuota sebanyak 3,150 COE diperuntukkan.
Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow mengumumkan di parlimen pada bulan lalu bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menyemak semula kategori COE bagi kereta, setelah harga COE bagi Kategori A dan Kategori B kian serupa.
Semasa sesi bidaan pada 20 Februari, premium COE bagi Kategori B lebih rendah berbanding Kategori A.
Kali terakhir harga COE bagi Kategori B adalah lebih rendah berbanding Kategori B adalah pada Mac 2020.
Walaupun harga COE Kategori B kembali ke "paras normal", terdapat kemungkinan kedua-dua harga itu kian serupa "untuk beberapa waktu", kata Encik Siow.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.