Skip to main content

Singapura

Premium COE bagi kereta lebih besar turun kepada S$105,001, lebih rendah berbanding harga Kategori A

Anggaran Waktu Membaca:
Premium COE bagi kereta lebih besar turun kepada S$105,001, lebih rendah berbanding harga Kategori A

Gambar fail: Jeremy Long/CNA

Diterbitkan : 20 Feb 2026 05:05PM Dikemas Kini : 20 Feb 2026 05:07PM
SINGAPURA: Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup bercampur-campur pada Jumaat (20 Feb) dalam sesi bidaan pertama sejak pengumuman perubahan kepada skim rebat Yuran Pendaftaran Tambahan Pilihan (PARF).

Bagi kereta kecil dalam Kategori A, premium ditutup pada S$106,501, naik daripada S$106,320 pada sesi bidaan lalu.

Premium untuk kereta yang lebih besar dan berkuasa dalam Kategori B pula jatuh kepada S$105,001 daripada S$110,890.

Kali terakhir harga Kategori B jatuh lebih rendah daripada harga kereta kecil adalah pada Julai 2018.

COE bagi kenderaan komersil, yang merangkumi kenderaan barangan dan bas, meningkat kepada S$74,999 daripada S$74,801 pada sesi sebelumnya.

Premium motosikal ditutup pada S$7,989, turun daripada S$8,289 pada sesi lalu.

COE kategori terbuka, yang boleh digunakan untuk mana-mana jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan untuk kereta besar, jatuh kepada S$112,890 daripada S$116,000.

Sebanyak 5,066 bidaan diterima, dengan kuota sebanyak 3,183 COE tersedia.

Kereta yang didaftarkan menggunakan COE daripada sesi ini adalah yang pertama tertakluk di bawah skim rebat PARF yang disemak semula, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan baru-baru ini.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan bahawa kadar rebat PARF akan dikurangkan sebanyak 45 peratusan mata secara menyeluruh, manakala had maksimum rebat akan dikurangkan separuh daripada S$60,000 kepada S$30,000.

Rebat PARF diberikan apabila sesebuah kereta dibatalkan pendaftarannya sebelum tahun ke-10.

Penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa pengurangan rebat ini mungkin akan meningkatkan jualan kenderaan elektrik (EV).

Ini kerana susut nilai kereta EV tidak terjejas teruk berbanding kereta biasa. Selain itu, langkah ini juga mungkin akan merancakkan lagi pasaran kereta terpakai.

Ini juga merupakan sesi bidaan kedua bagi tempoh Februari hingga April, di mana bekalan keseluruhan COE akan berkurangan berbanding tempoh tiga bulan sebelumnya.

Ini adalah penurunan pertama seumpamanya sejak 2022.

Sebanyak 18,824 COE akan tersedia sepanjang tempoh ini, turun daripada 18,984 semasa tempoh November 2025 hingga Januari 2026.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita