Skip to main content

Singapura

Premium COE bagi kereta besar jangkaui S$100,000

Anggaran Waktu Membaca:
Premium COE bagi kereta besar jangkaui S$100,000
Diterbitkan : 08 Jun 2022 05:09PM Dikemas Kini : 08 Jun 2022 05:10PM

SINGAPURA: Harga Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) bagi Kategori B dan Kategori Terbuka ditutup pada kadar tertingginya sejak 1994, dengan kedua-duanya menjangkaui S$100,000 dalam bidaan terkini pada Rabu (8 Jun). 

Premium bagi kereta lebih besar dan kuasa lebih tinggi dalam Kategori B melonjak paling tinggi, daripada S$95,889 kepada S$100,684 - kenaikan hampir S$5,000. 

Ini merupakan kadar yang tertinggi sejak 1994, apabila premium kenderaan bagi kenderaan Kategori Empat berharga S$110,500 pada Disember tahun itu. 

Kategori B terdiri daripada kereta-kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1,600cc atau dengan kuasa kuda yang melebihi 130bhp dan ia kini merangkumi kereta elektrik sepenuhnya dengan kuasa maksimum sehingga 110kW. 

Bagi Kategori Terbuka, yang boleh digunakan untuk sebarang jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan untuk kereta besar, ia meningkat kepada S$100,697 daripada S$95,901. 

Harga COE untuk Kategori A, atau kereta sehingga 1,600cc dan 130bhp, ditutup pada S$73,801, naik berbanding S$68,001 dalam bidaan lalu. Kategori ini juga termasuk kereta elektrik sepenuhnya dengan kuasa maksimum sehingga 110kW atau 147bhp. 

Premium motosikal ditutup pada S$10,000, berbanding S$9,490 dalam bidaan lalu. 

COE bagi kenderaan komersil, termasuk kenderaan muatan dan bas, naik kepada S$53,002 daripada S$51,501 dalam bidaan lalu. 

Secara keseluruhannya, sebanyak 2,956 bidaan diterima dengan 2,056 COE diperuntukkan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita