Premium Automobiles didenda S$12,000 berhubung insiden letupan pusat servis Audi di Ubi pada 2023
Sebuah syarikat kereta yang terlibat dalam letupan yang menyebabkan sebahagian dinding luar bangunan pusat servis Audi di Ubi runtuh pada 2023, didenda S$12,000 pada Rabu (10 Sep).
Keadaan selepas letupan di pusat servis Audi di 55 Ubi Road 1 pada 7 Mac 2023. (Gambar: CNA/Clara Lee)
Letupan yang berlaku pada 7 Mac 2023 itu disebabkan oleh reaksi antara percikan elektrik yang dihasilkan daripada penggunaan lif dan wap mudah terbakar yang dilepaskan daripada sebuah tangki sisa minyak yang diletakkan di dalam bilik mesin lif.
Ia menyebabkan 100 orang dipindahkan, dengan seorang individu dibawa ke hospital.
Kebakaran itu padam sendiri sebelum anggota bomba tiba.
Premium Automobiles mengaku bersalah terhadap satu tuduhan di bawah Peraturan Penyenggaraan Bangunan dan Pengurusan Strata (Lif, Tangga Bergerak dan Penyenggaraan Bangunan), kerana menggunakan lif secara berbahaya dan gagal menghentikan operasinya segera apabila ia digunakan dalam sedemikian cara.
Seorang pegawai pendakwa Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) berkata Premium Automobiles adalah penyewa dan penghuni premis di 55 Ubi Road 1 sejak 2002.
Ia adalah pemilik lif hidraulik tersebut.
Sebuah bilik mesin yang menempatkan motor lif itu, terletak di tingkat bawah berhampiran aci (shaft) lif itu, adalah bahagian penting lif tersebut.
Selepas menerima laporan berlaku letupan di bilik mesin lif berkenaan pada 7 Mac 2023, para jurutera BCA mengunjungi premis tersebut dan mendapati sebuah dinding bukan struktur dalam bilik mesin itu sudah runtuh.
Pada 20 Mac 2023, dua daripada jurutera BCA tersebut kembali untuk memeriksa bilik mesin itu dan mendapati selain daripada motor lif yang mengawal pergerakan lif, terdapat juga sebuah objek logam yang diletakkan berhampiran motor lif dan dinding.
Mereka mendapati objek logam itu adalah sebuah tangki sisa minyak yang dipasang oleh syarikat itu pada 2002 dalam bilik mesin.
Tangki sisa minyak itu menerima sisa minyak dari kenderaan motor yang dituang ke dalam paip dari tingkat dua dan tiga bangunan itu.
Minyak sisa itu akan dikumpul secara berkala oleh sebuah kontraktor sisa minyak untuk dibuang apabila tangki tersebut yang mempunyai kapasiti sebanyak 2,160 liter sudah penuh.
Sejak 2002, Premium Automobiles mendapatkan khidmat East Elevators sebagai kontraktor khidmat lif bagi perkhidmatan seperti kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan bulanan.
Namun, syarikat itu tidak memaklumkan kepada East Elevators mengenai pemasangan tangki sisa minyak.
East Elevators menganggap objek logam itu tidak berbahaya.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), letupan itu disebabkan oleh percikan elektrik daripada suis geganti dalam panel kawalan dalam bilik mesin, yang menyalakan wap mudah terbakar yang dilepaskan dari tangki sisa minyak dalam bilik tersebut.
Percikan elektrik itu dihasilkan apabila lif mula bergerak semasa operasi.
Letupan yang berlaku itu merosakkan dinding batu berhampiran bilik mesin, lobi dan pintu lif.
Seorang lelaki yang tidak dikenal pasti dalam dokumen mahkamah, sedang menaiki lif apabila letupan itu berlaku.
Namun beliau tidak cedera.
Seorang wakil syarikat itu hadir di mahkamah untuk mengaku bersalah bagi pihak Premium Automobiles.
Beliau enggan didedahkan namanya atau memberi sebarang ulasan apabila dihampiri oleh wartawan.
Seorang pegawai pendakwa BCA berkata letupan itu menyebabkan kerosakan harta benda yang besar.
"Mengambil kira tahap kerosakan harta benda yang berlaku, letupan itu boleh menyebabkan kecederaan serius jika terdapat individu berhampiran bilik mesin atau lobi lif," katanya.
BCA menambah syarikat itu memikul tanggungjawab yang tinggi kerana ia membenarkan pemasangan tangki sisa minyak dalam bilik mesin dan gagal merujuk dengan pihak berkuasa relevan mengenai keperluannya.
Pihak pendakwa memohon denda S$12,000.
Dalam mitigasi, wakil syarikat itu berkata syarikat tersebut tersilap kerana terlalu bergantung kepada seorang jurutera perkhidmatan bagi menguruskan hal-hal berkaitan lif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.