Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Premis F&B, acara berskala besar, pusat hiburan malam kekal laksana peraturan VDS sekalipun pelitup tidak lagi wajib

Anggaran Waktu Membaca:
Premis F&B, acara berskala besar, pusat hiburan malam kekal laksana peraturan VDS sekalipun pelitup tidak lagi wajib

(Gambar: Grace Yeoh/CNA)

Diterbitkan : 25 Aug 2022 02:28PM Dikemas Kini : 25 Aug 2022 02:28PM

SINGAPURA: Langkah-langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) akan dikekalkan untuk premis makanan dan minuman (F&B), acara besar-besaran serta pusat hiburan malam.

Ini sekalipun pemakaian pelitup tidak lagi diwajibkan di tempat-tempat berkenaan mulai Isnin (29 Ogos). 

Semasa sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 (MTF) pada Rabu (24 Ogos), Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong mengulangi bahawa pemeriksaan VDS kini hanya diperlukan bagi acara-acara yang dihadiri lebih 500 peserta dan apabila duduk makan di tempat F&B. 

Namun, tambah Encik Wong, premis F&B tidak lagi melakukan pemeriksaan status vaksinasi kerana tanggungjawabnya terletak pada setiap individu dan pemeriksaan secara rambang dilakukan oleh pihak berkuasa. 

"Buat masa ini, kami akan mengekalkan pendekatan ini... tiada perubahan pada langkah ini kerana vaksinasi masih cara yang terbaik untuk melindungi diri kita daripada penyakit teruk angkara COVID-19," terang Encik Wong. 

Ini bermaksud hanya individu yang sudah lengkap divaksin boleh duduk makan di premis F&B, menghadiri acara berskala besar dengan lebih 500 peserta pada satu-satu masa atau memasuki pusat hiburan malam. 

Walau bagaimanapun, pemakaian pelitup di acara-acara berkenaan tidak lagi diwajibkan mulai Isnin depan (29 Ogos), kata Encik Wong.  Beliau menambah bahawa acara-acara itu bukanlah khidmat penting di mana sebahagian besar warga tua berkemungkinan terdedah kepada COVID-19. 

Menurut Encik Wong lagi, pihak penganjur acara dan pengendali tempat berkenaan boleh memutuskan sama ada peserta dikehendaki untuk memakai pelitup ataupun tidak. 

"Penganjur acara dan pengendali tempat boleh memutuskan mengikut kes, bergantung kepada persekitaran, bergantung kepada acara, bahawa mereka akan tetap terus mewajibkan pemakaian pelitup," terang Encik Wong. 

Mulai Isnin (29 Ogos), penduduk di Singapura tidak diwajibkan memakai pelitup kecuali ketika berada di pengangkutan awam dan kemudahan jagaan kesihatan. 

Pelitup masih perlu dipakai di mod pengangkutan seperti MRT, LRT dan bas awam serta kemudahan pengangkutan awam yang tertutup seperti tempat menaiki bas di pusat pertukaran bas dan platform MRT. 

Namun, pelitup tidak diwajibkan di lapangan terbang, pusat pertukaran bas dengan pengaliran udara semula jadi serta kawasan runcit di pusat pertukaran bas, stesen MRT dan LRT. 

Penumpang juga boleh membuat pilihan untuk memakai pelitup di mod pengangkutan persendirian seperti teksi, bas sekolah dan khidmat bas privet, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan media berasingan pada Rabu (24 Ogos).

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa