Premis baru Rumah Kebajikan Muhammadiyah dirasmikan
Premis baru Rumah Kebajikan Muhammadiyah dirasmikan. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
SINGAPURA: Premis baru Rumah Kebajikan Muhammadiyah dirasmikan hari ini (13 Nov) yang memperkenalkan model penjagaan berbeza bagi para penghuninya.
Bangunan yang sebelum itu terletak di Bedok North berpindah ke Pasir Ris pada Jun lalu. Ia menempatkan kira-kira 39 penghuni.

Dengan tema #101percent, rumah kebajikan itu menjemput orang ramai untuk terus memberi sokongan penuh sempena pemindahannya.
Premis itu juga menampilkan kemudahan-kemudahan baru termasuk Hab Edu iaitu tempat Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) diadakan, Bilik Interaktif dan Bilik Terapi Permainan.
Ia dilengkapi degan teknologi-teknologi baru untuk membantu dalam program penjagaan serta pemantauan lebih berkesan.
Antara penghuni yang sedang menjalani program itu ialah 'Zai', bukan nama sebenar.
Zai, yang kini berusia 20 tahun, sudah menetap di RKM selama lapan tahun.
Jika pada mulanya, dia menghadapi masalah menyesuaikan diri dalam suasana dan persekitaran yang baru, kini dia lebih selesa dan berjaya dinaikkan pangkat sebagai penyelia di tempat kerjanya.

Zai dikenalpasti untuk menjalani kehidupan berdikari selepas keluar daripada RKM nanti.
"Saya sudah (tinggal) di dalam rumah (RKM) sudah lapan tahun dengan banyak pegawai di sini yang membimbing saya dan mengajar (saya) macam mana nak tinggal di sini," kongsi Zai.
"Di sini ada banyak sistem. Di luar lain. Ia membimbangkan saya sebab macam susah kalau tinggal sendiri. Anda tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dan anda perlu fikirkan sendiri," tambahnya lagi.
MODEL PENJAGAAN BERBEZA DIPERKENALKAN UNTUK PENUHI KEPERLUAN PENGHUNI
Lantaran itu, model penjagaan berbeza yang diperkenalkan bagi memenuhi keperluan setiap individu dapat membantu para penghuni seperti Zai dalam proses peralihan mereka kepada kehidupan di luar.
"Jadi anak-anak yang tidak ada rumah atau tidak ada keluarga yang dapat memberi sokongan kepada mereka, kita alihkan mereka kepada hidup berdikari. Contoh kami mendapatkan mereka rumah sewa dan InsyaAllah, mereka dapat terus bekerja atau menyambung belajar," kongsi Ketua RKM, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed.
"Kami juga mengajar mereka kemahiran-kemahiran kehidupan, contohnya cara memasak dengan mudah, bagaimana membuat akaun bank sendiri, dan bagaimana ingin melakukan belanjawan," tambahnya lagi.

Selain itu, model penjagaan itu turut memberi tumpuan kepada kehidupan dalam kumpulan-kumpulan kecil agar perhatian dan tumpuan dapat diberikan kepada keperluan setiap individu yang dijaga berdasarkan latar belakang mereka.
Ini termasuk para penghuni yang datang daripada latar belakang yang kompleks dan mempunyai isu kesihatan mental.

"Antara khidmat baru kami di sini ialah Terapi Permainan yang mana anak-anak belajar untuk memahami dan juga mengawal emosi mereka dengan bermain," kongsi Cik Rahmatunnisa.
"Mereka akan melalui program selama setahun atau dua tahun, dan mereka akan berjumpa dengan kakitangan yang dilatih seminggu sekali," tambah beliau.
PREMIS BARU SEDIAKAN SEKITARAN PENGASUHAN BAGI PENGHUNI
Berucap di pembukaan rasmi RKM, Presiden Halimah Yacob melahirkan keyakinan bahawa premis baru itu dapat menyediakan persekitaran bersifat pengasuhan kepada para penghuninya.
"Ia dibina mengikut tiga pertimbangan - memastikan keselamatan para penghuni dan kakitangan, mendakap teknologi dalam operasinya, dan melakarkan model penjagaan berbeza untuk memenuhi setiap keperluan individu penghuni," kata Puan Halimah.

"Saya setuju dengan usaha-usaha RKM dalam membimbing dan menyatukan anak-anak ini dengan keluarga mereka dalam cara yang tepat, sambil membina dan memperkasa mereka untuk membuat sumbangan bermakna kepada masyarakat," menurutnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berpendapat bahawa RKM perlu terus mengubah operasinya untuk menangani kes-kes kompleks dan keperluan yang sentiasa berubah, termasuk menyokong anak-anak itu selepas mereka keluar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.