Prasekolah S'pura akan dilengkapi dengan 'penyelaras inklusif'; kenal pasti murid dengan keperluan pembangunan
Mulai separuh kedua 2023, setiap prasekolah di Singapura akan dilengkapi dengan seorang "penyelaras inklusif" untuk meningkatkan tahap keterangkuman bagi kanak-kanak dengan keperluan pembangunan.

SINGAPURA: Mulai separuh kedua 2023, setiap prasekolah di Singapura akan dilengkapi dengan seorang "penyelaras inklusif" untuk meningkatkan tahap keterangkuman bagi kanak-kanak dengan keperluan pembangunan. Penyelaras itu akan bantu mengenal pasti murid-murid yang mungkin memerlukan saringan untuk mengesan masalah pembangunan dan akan bekerjasama dengan para ibu bapa.
Peranan baru itu diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Jumaat (5 Mac) di samping inisiatif-inisiatif lain bagi menyokong kanak-kanak prasekolah dengan keperluan pembangunan.
Keperluan pembangunan meliputi isu-isu deria seperti kehilangan daya penglihatan atau pendengaran dan isu-isu pembelajaran seperti kelengahan pada keupayaan bertutur.
Para penyelaras ini adalah sebahagian daripada saranan-saranan yang diusulkan oleh Kumpulan Kerja Prasekolah Inklusif yang ditubuhkan oleh MSF pada 2019 untuk menyepadukan dengan lebih baik murid-murid yang mempunyai keperluan pembangunan dengan kanak-kanak yang membesar secara normal.
Semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya di Parlimen, Menteri MSF Masagos Zulkifli berkata memupuk nilai-nilai inklusif dan corak pemikiran sejak kecil lagi akan meletakkan asas untuk membentuk sebuah masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif.
Menteri MSF itu menambah: "Ini bermanfaat bagi semua orang. Kajian menunjukkan bahawa kedua-dua kanak-kanak dengan keperluan pembangunan dan kanak-kanak yang membesar secara normal akan meraih manfaat daripada lebih banyak penyertaan di prasekolah dalam bidang-bidang seperti memupuk sikap sosial dan hubungan yang positif tanpa menjejas pembangunan mereka."
Mengulas lanjut, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling berkata bahawa kumpulan kerja itu melaksanakan kerangka sokongan bertingkat, bergantung kepada tahap sokongan intervensi awal yang diperlukan. Kumpulan itu akan mengeluarkan laporan penuh pada bulan depan.
Pelantikan penyelaras inklusif kini di tahap pertama kerangka tersebut.
Para penyelaras inklusif akan bekerjasama dengan guru-guru prasekolah yang lain untuk mengenal pasti murid-murid dengan keperluan pembangunan dan akan membantu untuk menghubungkan guru dan ibu bapa dengan bantuan intervensi awal. Dengan berbuat demikian, murid-murid akan mendapat akses kepada khidmat intervensi dengan lebih awal dan mudah.
Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) yang mengawal selia sektor prasekolah di sini, akan bekerjasama dengan sekitar 1,900 prasekolah untuk melantik kakitangan sedia ada sebagai penyelaras inklusif masing-masing. Menjelang pelantikan mereka, ECDA akan bekerjasama dengan prasekolah-prasekolah untuk melatih dan mempersiapkan anggota kakitangan ini untuk peranan baru mereka.
"Penyelaras inklusif sahaja bukanlah satu-satunya huraian dan kami menggesa semua pemimpin prasekolah dan pendidik supaya bekerjasama dengan para penyelaras inklusif di prasekolah masing-masing dalam perjalanan kita menjadi sebuah masyarakat yang benar-benar inklusif," kata Cik Sun.
Butiran lanjut mengenai jadual latihan dan pelaksanaan penyelaras kinklusif akan didedahkan pada tarikh yang bakal ditetapkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.