Skip to main content

Singapura

Prasekolah PCF Sparkletots sasar laksana sepenuhnya kelas bahasa Melayu dan Tamil jelang 2027 di pusat yang ada permintaan

Prasekolah PCF Sparkletots mensasarkan untuk melaksanakan sepenuhnya kelas Bahasa Melayu dan Tamil di hampir kesemua pusatnya yang mempunyai permintaan menjelang 2027.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Prasekolah PCF Sparkletots mensasarkan untuk melaksanakan sepenuhnya kelas Bahasa Melayu dan Tamil di hampir kesemua pusatnya yang mempunyai permintaan menjelang 2027.

PCF Sparkletots menegaskan komitmennya terhadap pendidikan Bahasa Ibunda itu di Simposium OneMTL anjuran Presekolah PCF Sparkletots pada Sabtu (30 Ogos).

Buat masa ini, kesemua 350 pusat PCF Sparkletots menawarkan kelas bahasa Mandarin, dengan sekitar 300 pusat menawarkan kelas Bahasa Melayu dan 200 pusat menyediakan kelas Bahasa Tamil.

Di simposium yang membawa bersama kanak-kanak, ibu bapa, pendidik dan masyarakat secara umum untuk meraikan kekayaan budaya dan kepelbagaian bahasa ibunda itu, satu siri buku bahasa ibunda baharu turut dilancarkan.

Related article image
Siri buku bahasa ibunda, 'Let’s Set Off!' dilancarkan semasa Simposium OneMTL. (Gambar: Prasekolah PCF Sparkletots)

Berjudul 'Let’s Set Off!', siri enam buku itu menampilkan warisan dan budaya Singapura,dengan setiap buku memaparkan mercu tanda dan kisah unik kepada Singapura sempena sambutan SG60.

Buku-buku tersebut akan disediakan di semua pusat PCF Sparkletots dan digunakan di dalam kelas untuk pengajaran bahasa ibunda serta bahan untuk sesi bercerita.

SIRI BUKU BAHARU ADA DALAM VERSI CINA, MELAYU, TAMIL

Setiap buku akan mempunyai versi dalam bahasa Cina, Melayu dan Tamil.

Tetamu kehormat, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad menekankan kepentingan bahasa ibunda dalam membentuk jati diri serta menghubungkan generasi.

Related article image
Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad. (Gambar: Presekolah PCF Sparkletots)

"Bahasa ialah warisan yang menghubungkan kita dengan generasi dahulu, mencerminkan nilai kita dan juga membentuk jati diri kita. Jika dipupuk awal, bahasa ini dapat tumbuh subur seperti tanaman. Ia dapat berakar kukuh, bercambah segar dan terus hidup sepanjang zaman," menurut Encik Zaqy dalam ucapannya.

"Marilah kita bersama-sama memastikan bahawa bahasa ibunda kita terus hidup subur seperti budaya yang diwarisi dan menjadi bekalan untuk generasi yang akan datang," tambahnya.

HUBUNGKAN KELUARGA DENGAN WARISAN SG

Siri buku baharu itu katanya, merupakan cara untuk menghubungkan keluarga dengan warisan Singapura.

"Buku-buku ini membawa kanak-kanak menyusuri perjalanan ke lokasi ikonik tempatan seperti Geylang Serai, Sembawang Hot Springs, Serangoon Road, Joo Chiat dan landasan kereta api lama Jurong. Dan ini disampaikan dalam bahasa ibunda masing-masing," ujar Encik Zaqy.

"Buku-buku ini mengajak keluarga untuk meneroka semula Singapura bersama-sama, menjadikan lokasi harian sebagai peluang untuk bercerita dan berhubung sambil mempelajari kepentingan budaya di sebaliknya," tambah beliau.

MUDAHKAN KANAK-KANAK MEMAHAMI ADAT, BUDAYA SG

Related article image
Cik Nordia Juhari dan anak-anaknya. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Ini amat dialu-alukan oleh ibu seperti Cik Nordia Juhari, yang hadir di acara itu.

“Ia inisiatif yang sangat bermakna kerana ia mempermudahkan kanak-kanak kecil untuk memahami tentang adat dan budaya Singapura," kongsi Cik Nordia kepada BERITA Mediacorp.

"Ia dapat membantu membina keyakinan untuknya (anak) berbahasa Melayu dengan saudara-mara atau keluarga," tambahnya.

TAMBAHAN BAHAN BACAAN YANG BAIK
 

Related article image
Guru Bahasa Melayu di Prasekolah PCF Sparkletots, Cik Nurdiyanah Misdani. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Guru Bahasa Melayu di Prasekolah PCF Sparkletots, Cik Nurdiyanah Misdani, pula melihat buku itu sebagai satu tambahan bahan bacaan yang baik, yang boleh melengkapi sumber sedia ada di sekolah untuk pengajaran bahasa ibunda.

"Ia adalah satu tambahan yang sangat menarik kerana ia mempunyai gambar-gambar dan ilustrasi yang berwarna-warni dan saya rasa kanak-kanak akan rasa gembira, seronok dan minat untuk melihat dan membaca buku," kongsi Cik Nurdiyanah yang mengajar di Prasekolah PCF Sparkletots.

Related article image
Reruai interaktif di Simposium OneMTL. (Gambar: Prasekolah PCF Sparkletots)

Selain pelancaran buku, Simposium OneMTL turut menampilkan Pertandingan Gubahan Rima Kanak-Kanak serta Pertandingan Reka dan Gaya.

Ini selain persembahan oleh si cilik yang boleh dinikmati para hadirin serta pelbagai reruai budaya interaktif dan bengkel sepanjang acara itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita