Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prasekolah Kinderland Woodlands Mart dapat pengetua baharu; CCTV dipasang di bilik darjah

Anggaran Waktu Membaca:
Prasekolah Kinderland Woodlands Mart dapat pengetua baharu; CCTV dipasang di bilik darjah

Kinderland Preschool @ Woodlands Mart. (Gambar: CNA/Hanidah Amin)

SINGAPURA: Seorang pengetua baharu akan menyertai prasekolah Kinderland Preschool @ Woodlands Mart pada minggu akan datang.

Demikian menurut wakil pengurusan sekolah itu pada Sabtu (2 Sep) sambil menambah bahawa kamera televisyen litar tertutup (CCTV) telah dipasang di semua bilik darjah.

Semasa pertemuan dengan para ibu bapa pada Sabtu, Kinderland memohon maaf kerana wujudnya "jurang komunikasi" selepas video seorang guru yang dikatakan mendera kanak-kanak, tersebar luas online minggu ini.

Guru tersebut, Lin Min, yang berusia 33 tahun, telah dipecat dan diberkas pada Isnin. Dia didakwa pada Rabu atas kesalahan menganiaya seorang kanak-kanak dengan memaksanya berbaring sebelum menuang air ke dalam mulutnya.

Video berkenaan mencetuskan kemarahan ibu bapa dengan sekolah tersebut dipersoal mengenai cara ia mengendalikan perkara tersebut dan sama ada pengetua harus menangani isu berkenaan dengan lebih cepat. Pengetua terbabit sudah digantung tugas sementara Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) menjalankan siasatan.
Kinderland telah mengadakan tiga mesyuarat dengan ibu bapa murid-murid dalam beberapa kumpulan pada Sabtu.

Ibu bapa yang ditemui Mediacorp selepas mesyuarat pertama itu, berkata sesetengah hadirin menyuarakan rasa marah dan meninggikan suara ketika sesi itu berlangsung.

Seorang ibu, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Sun, 41 tahun, berkata bahawa wakil Kinderland asyik cuba mencelah seorang ibu apabila dia sedang becakap, dan mereka merasakan pihak sekolah tidak ikhlas.

"Mereka memohon maaf, tetapi mereka asyik berkata bahawa sebilangan pertanyaan perlu dijawab oleh ECDA, seolah-seolah sekolah tersebut tidak mempunyai tanggungjawab dalam hal ini," ujarnya.

KINDERLAND SENTUH DASAR TELEFON BAGI KAKITANGAN

Bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat pertama itu, yang dihadiri kira-kira 30 ibu bapa, pengurus besar Kinderland Seet Lee Kiang berkata wakil sekolah sedia maklum mengenai tekanan yang ditanggung ibu bapa berikutan insiden berkenaan.

Pengetua baharu sekolah itu diperkenalkan kepada ibu bapa semasa pertemuan tersebut, dan beliau menjelaskan langkah-langkah yang akan dilaksanakan bagi mengutamakan keselamatan kanak-kanak.

"Salah satu daripadanya adalah untuk meningkatkan kehadiran dan pemeriksaan oleh pengetua. CCTV, kami juga sudah dipasangnya," kata Encik Seet kepada wartawan.

Beliau sedia maklum bahawa CCTV dipasang sebagai respons terhadap kes penderaan tersebut, tetapi menyatakan bahawa syarikat itu segera berbuat demikian.

Kinderland juga menjelaskan dasar prasekolah itu berhubung larangan kakitangan menggunakan peranti peribadi ketika mengajar, yang pertama kali diperkenalkan pada 2019 dan ditekankan lagi minggu ini.

"Jika ada kecemasan, kami membenarkan mereka untuk menggunakan peranti peribadi," ujar Encik Seet. Ini termasuk merakam video penderaan untuk dilaporkan kepada pihak pengurusan.

"Kami selama ini telah mengalakkan tindakan memberi maklumat (sebagai) sebuah satu dasar," tambahnya.

Langkah-langkah lain yang akan dilaksanakan termasuk meningkatkan perhubungan dengan ibu bapa, menyediakan seorang kaunselor untuk membantu menyokong kanak-kanak, guru dan ibu bapa serta menyemak semula proses pengambilan kakitangan baharu dan latihan.

Selain kes yang didakwa berlaku di prasekolah di Woodlands itu, seorang guru Kinderland di sebuah cawangan di Choa Chu Kang juga diberkas pada minggu yang sama kerana disyaki memukul seorang kanak-kanak.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan