Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prasekolah dikehendaki lindungi premis; siap siaga tangani kecemasan, kata Sun Xueling

Anggaran Waktu Membaca:
Prasekolah dikehendaki lindungi premis; siap siaga tangani kecemasan, kata Sun Xueling

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 20 Oct 2022 08:40PM Dikemas Kini : 20 Oct 2022 08:41PM
SINGAPURA: Semua prasekolah di Singapura dikehendaki melindungi premis masing-masing daripada dimasuki mereka yang tidak dibenarkan.

Selain itu, semua prasekolah juga dikehendaki menetapkan prosedur operasi standard bagi menangani pemindahan kanak-kanak dan kakitangan sekiranya berlaku kecemasan.

Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling berkata demikian di Parlimen pada Khamis (20 Okt) sebagai menjawab keprihatinan tentang keselamatan di prasekolah, menyusuli tragedi pembunuhan beramai-ramai di sebuah prasekolah di Thailand awal bulan ini.
 

Anggota Parlimen (AP) He Ting Ru (WP-Sengkang) dan AP Gerald Giam (WP-Aljunied) bertanya sama ada langkah keselamatan di prasekolah sekolah mencukupi.

Menjawab, Cik Sun menjelaskan bahawa Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) mempunyai peraturan yang memerlukan prasekolah menguatkuasakan langkah bagi melindungi kanak-kanak dan kakitangan daripada ancaman keselamatan. Peraturan-peraturan tersebut disemak secara kerap dan dikemaskini seperti yang diperlukan.

Semua prasekolah dikehendaki memastikan premis mereka dilindungi. Kebanyakannya memasang kunci elektronik di tempat masuk dan pelawat hanya dibenarkan masuk ke premis selepas menjalani pemeriksaan, kata Cik Sun.

Bukan itu sahaja, semua prasekolah harus juga mempunyai prosedur untuk memeriksa dan menyimpan rekod pengunjung yang keluar masuk.

Cik Sun menegaskan semua prasekolah turut dikehendaki menetapkan prosedur operasi standard bagi sebarang insiden keselamatan, kecederaan dan pemindahan sekiranya berlaku kecemasan.

Latihan kecemasan mesti dijalankan setiap enam bulan untuk membiasakan kanak-kanak dan kakitangan prasekolah.

Dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan yang tersebut, pegawai pelesenan ECDA melakukan lawatan pelesenan dan penyeliaan secara kerap.

Cik Sun berkata: "Walaupun ECDA melaksanakan usaha yang sebaik mungkin, dan semua prasekolah kami memastikan keselamatan kanak-kanak dan kakitangan, kejadian yang tidak diingini masih boleh berlaku. Oleh itu, selain daripada langkah-langkah pencegahan, prasekolah, ibu bapa, dan masyarakat awam harus kekal berwaspada dan bersiap siaga dalam menangani insiden sedemikian, sekiranya ia berlaku."

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan