Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PRAS dilancar bantu pertingkat kadar kitar semula sisa plastik di S'pura

Persatuan Kitar Semula Plastik Singapura (PRAS) yang baru dilancarkan akan meningkatkan keupayaan negara dalam mengitar semula plastik dengan menyatukan pelbagai pihak berkepentingan untuk saling bertukar-tukar pengetahuan serta amalan-amalan terbaik mengenai pengurusan sisa plastik dan kitar semula

Anggaran Waktu Membaca:
PRAS dilancar bantu pertingkat kadar kitar semula sisa plastik di S'pura

Botol-botol plastik mencemari pantai. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 10:09AM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 10:11AM

SINGAPURA: Persatuan Kitar Semula Plastik Singapura (PRAS) yang baru dilancarkan akan meningkatkan keupayaan negara dalam mengitar semula plastik dengan menyatukan pelbagai pihak berkepentingan untuk saling bertukar-tukar pengetahuan serta amalan-amalan terbaik mengenai pengurusan sisa plastik dan kitar semula.

Demikian menurut Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu ketika merasmikan persatuan itu pada Selasa (17 Ogos).

Berucap di pelancaran PRAS, Cik Fu menggariskan tiga bidang peluang yang dapat dimanfaatkan.

Pertama, PRAS akan membangunkan dan memperluaskan keupayaan Singapura bagi sisa plastik. Satu cara untuk melakukannya adalah melalui skim memulangkan bekas minuman bagi sisa bungkusan, kongsi beliau.

Skim ini mempertanggungjawabkan para pengeluar seperti syarikat minuman untuk mengumpul dan mengitar semula botol-botol minumannya. Pengguna akan menerima bayaran balik apabila mereka memulangkan bekas minuman kosong ke tempat-tempat pemulangan yang dikhususkan.

Cik Fu menambah satu kemudahan mengitar semula botol PET di Singapura akan menjadi satu cara bagi PRAS memperkukuhkan keupayaan tempatan dalam mengitar semula botol PET.

Kemudahan seumpama itu akan mewujudkan nilai ekonomi dan pekerjaan mesra alam di sini. Selain itu, ia juga akan membawa para pakar dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan jitu, pengilangan peralatan kitar semula dan proses kitar semula plastik, kata Cik Fu.

PET bererti polietilena tereftalat iaitu sejenis poliester. Ia dibentuk untuk menjadi botol plastik dan bekas plastik bagi membungkus makanan, minuman, produk jagaan diri serta banyak lagi produk pengguna yang biasa digunakan di Singapura.

Kedua, PRAS boleh meneroka huraian baru dalam mengitar semula sisa plastik dengan bekerjasama dengan "ekosistem kajian dan pengembangan" Singapura, ujar Cik Fu.

Akhir sekali, beliau menambah PRAS boleh mewujudkan peluang untuk membawa "ekonomi kitaran" menjangkaui Singapura.

Cik Fu menukil pelan hala tuju Malaysia ke arah sifar plastik guna sekali saja dan pendekatan ekonomi kitaran Indonesia terhadap pertumbuhan serta pembangunan yang mampan.

Menerusi badan-badan seperti PRAS, terdapat peluang untuk Singapura "mempercepatkan peralihan ke arah kitar semula plastik di rantau kita," kata CIk Fu.

"Walaupun plastik adalah komponen penting dalam proses pengilangan dan logistik kita, kesannya terhadap alam sekitar tidak boleh diabaikan. Mod perniagaan seperti biasa tidak boleh diteruskan. Dunia memerlukan secara mendesak huraian mampan bagi sisa plastik," ungkap Cik Fu lanjut.

Presiden PRAS Edwin Khew berkata: "Kita semua adalah pihak berkepentingan yang mengeluarkan bahan plastik mentah dan palet, pengeluar produk plastik, pengguna, pengumpul dan pengitar semula sisa plastik... dan boleh terlibat dalam satu wadah tunggal untuk membantu mempertingkatkan pemangkin kitar semula plastik dari 4 peratus kepada 30 peratus dan kemudian kepada 70 peratus dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun.

Dalam satu kenyataan media berasingan, PRAS menyatakan ia sudahpun menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kitar Semula Plastik untuk mencari huraian inovatif bagi menangani "sisa plastik merata Singapura".

Pusat itu merancang untuk mengesan dengan pantas dan menyesuaikan "huraian canggih" dengan Singapura dan kemudian berkhidmat sebagai rujukan untuk membantu negara-negara ASEAN dalam projek kitar semula masing-masing, jelas PRAS.

Pusat itu akan memeterai lima Memorandum Persefahaman (MOU) bersama rakan-rakan kongsi berbeza dengan tumpuan kepada pelbagai latihan kemahiran serta kerjasama dalam kajian dan pengembangan (R&D) untuk mencapai tahap kitar semula plastik lebih tinggi.

KEMUDAHAN PENGURUSAN SISA DIBIAYAI BON HIJAU

Lakaran artis bagi Tuas Nexus menunjukkan IWMF (kiri) dan Tuas WRP (kanan). (Gambar: NEA & PUB)

(Lakaran artis bagi Tuas Nexus menunjukkan IWMF (kiri) dan Tuas WRP (kanan). Gambar: NEA & PUB)

Cik Fu turut mengumumkan Kemudahan Pengurusan Sisa Bersepadu Tuas Nexus (IWMF) akan menjadi projek prasarana pertama oleh sebuah lembaga berkanun yang akan dibiayai melalui bon-bon hijau.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menubuhkan Program Nota Jangka Sederhana Berbilang Mata Wang bernilai S$3 bilion dan Rangka Kerja Bon Hijau. Hasil daripada pengeluaran bon itu akan digunakan untuk membiayai projek prasarana kemampanan seperti IWMF, menurut menteri itu.

Kemudahan Tuas Nexus akan menjadi kemudahan bersepadu pertama Singapura untuk merawat sisa yang tidak boleh dibakar, sisa makanan yang diasingkan daripada sumbernya dan minyak kotor yang dikeluarkan airnya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan