Skip to main content

Singapura

Pramugara dijel; cabul kehormatan rakan sekerja semasa penerbangan

Anggaran Waktu Membaca:
Pramugara dijel; cabul kehormatan rakan sekerja semasa penerbangan

(Gambar: Choi Suhyeon/Unsplash)

Diterbitkan : 08 Mar 2022 10:22AM

SINGAPURA: Seorang pramugara dijatuhi hukuman penjara selama lima minggu pada Isnin (7 Mac) kerana mencabul kehormatan seorang rakan sekerja wanita sewaktu penerbangan dari Singapura ke Filipina pada 2019. 

Lelaki berusia 50 tahun itu didakwa pada Januari kerana mencabul kehormatan seorang pramugari. Dia menepuk punggung wanita itu pada 3 Mei 2019 apabila melalui mangsa di dalam pesawat dan ketika pramugari itu sedang membantu seorang penumpang. 

Maklumat syarikat dan nama pihak-pihak terlibat dikeluarkan daripada dokumen-dokumen mahkamah dan perintah mahkamah dikeluarkan untuk identiti mangsa.

Semasa perbicaraan, tertuduh nafi menyentuh atau menepuk punggung mangsa dan mendakwa menegaskan bahawa hanya "menyentuh" bahagian kanan pelvis" mangsa apabila melihatnya bersandar pada kerusi dan punggung mangsa "kelihatan" di lorong pesawat. 

Tertuduh juga menyifatkan postur tubuh mangsa sebagai "menggoda" dan mendakwa menyentuh mangsa untuk membetulkan posturnya itu. 

Menurut mangsa, beliau ternampak tertuduh berjalan melaluinya dan tiada orang lain di belakangnya. Tertuduh berhenti dan berkata "Janganlah diri macam tu" dengan "tingkah laku yang nakal atau gatal". 

Peguam tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia ingin mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan. 

Timbalan Pendakwa Raya Lee Wei Liang meminta hukuman penjara selama enam hingga lapan minggu, dan berkata bahawa kesalahan itu berlaku di dalam pesawat di mana mangsa sukar untuk mendapatkan bantuan penguatkuasaan undang-undang. 

Sebagai pekerja pengangkutan udara, kejadian itu menjejas keupayaan mangsa untuk melaksanakan tugas sekiranya terdapat kecemasan sewaktu penerbangan, katanya lagi. 

Encik Lee juga menarik perhatian terdapat "penyalahgunaan serius kepercayaan" memandangkan tertuduh merupakan pengurus pesawat dan anak kapal berpangkat tinggi dalam pesawat tersebut. Tertuduh juga merupakan penyelia mangsa. 

Jika sabit kesalahan mencabul kehormatan seseorang, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda. Tertuduh tidak boleh disebat kerana berusia 50 tahun. 

Tertuduh juga berdepan dengan satu lagi tuduhan mencabul kehormatan kerana didakwa menampar punggung seorang wanita semasa penerbangan ke Belanda pada 26 November 2018.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita