Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pramugara 50 tahun didapati bersalah cabul kehormatan rakan sekerja dalam pesawat

Anggaran Waktu Membaca:
Pramugara 50 tahun didapati bersalah cabul kehormatan rakan sekerja dalam pesawat

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Jan 2022 05:13PM Dikemas Kini : 17 Jan 2022 05:14PM

SINGAPURA: Seorang pramugara didapati bersalah pada Isnin (17 Jan) atas tuduhan mencabul kehormatan rakan sekerjanya semasa dalam penerbangan dari Singapura ke Filipina pada 2019.

Lelaki berusia 50 tahun itu, yang namanya disunting daripada dokumen mahkamah, didapati bersalah atas satu tuduhan mencabul kehormatan seorang pramugari berusia 27 tahun.

Lelaki itu menampar punggung mangsa pada 3 Mei 2019 semasa berjalan melepasi mangsa di dalam pesawat. Mangsa membongkok sedikit kerana sedang melayani seorang penumpang ketika itu.

Butiran mengenai nama syarikat penerbangan dan pihak-pihak yang terlibat disunting daripada dokumen mahkamah dan identiti mangsa juga tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah.

Tertuduh bagaimanapun menafikan dia menyentuh mahupun menampar punggung mangsa. Tertuduh sebaliknya mendakwa bahawa dia setakat "menepuk" pangkal paha kanan mangsa apabila dia ternampak mangsa sedang bersandar pada tempat duduk.

Dia menyifatkan postur mangsa sebagai "menjolok mata" dan bertegas bahawa dia menyentuh mangsa setakat untuk membetulkan posturnya.

Mangsa memaklumkan insiden tersebut kepada ketua pramugara. Selepas pesawat mendarat dan ketika anak kapal sedang bersiap untuk penerbangan pusing balik, tertuduh menghampiri mangsa lalu meminta maaf, menurut mangsa.

Menurut mangsa, tertuduh memberitahunya bahawa dia "tidak berniat untuk berbuat demikian" tetapi mangsa bertanya apakah niat sebenar tertuduh di sebalik perbuatannya itu. Tertuduh sebaliknya berulang kali menegaskan bahawa dia "tidak berniat untuk berbuat demikian", kata mangsa.

Semasa melakukan persinggahan di Filipina, mangsa menghantar mesej kepada ketuanya untuk menceritakan kejadian tersebut.Mangsa menegaskan bahawa "perbuatan tertuduh memang disengajakan dan ia bukan raba-raba atau sentuhan yang tidak disengajakan".

Mangsa membuat aduan polis selepas beliau mendarat di Singapura.

Tertuduh akan dihadapkan semula ke mahkamah untuk mengemukakan rayuan terhadap hukumannya pada Mac. Atas kesalahan mencabul kehormatan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan didenda. Dia bagaimanapun tidak boleh dirotan kerana berusia 50 tahun.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan