PR SG di luar negara diberi 180 hari untuk mohon permit masuk sebelum kehilangan status
Penduduk tetap (PR) yang berada di luar Singapura tanpa permit masuk yang sah akan diberikan 180 hari untuk memohon permit tersebut sebelum kehilangan status PR mereka.
Kiosk automatik imigresen ICA di dewan ketibaan Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Perubahan tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Disember, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (29 Sep), sambil menambah bahawa ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan secara berperingkat Akta Imigresen (Pindaan) yang diluluskan di parlimen pada 2023.
Permit masuk yang sah diperlukan setiap kali seorang penduduk tetap keluar dari Singapura, menurut laman web Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA). Permit itu membolehkan mereka mengekalkan status PR semasa berada di luar negara.
Permit masuk mempunyai tempoh sah yang ditetapkan dan membolehkan penduduk tetap masuk semula ke Singapura selepas keluar buat sementara waktu.
Pada masa ini, penduduk tetap yang berada di luar Singapura tanpa permit masuk yang sah dianggap kehilangan status PR mereka secara serta-merta oleh ICA.
Mereka diberi tempoh lanjutan selama sebulan selepas tempoh permit masuk semula tamat, untuk memohon permit baharu bagi mengekalkan status PR mereka.
Jika permohonan itu diluluskan, status PR mereka akan dikekalkan.
ICA sebelum ini mengambil pendekatan fleksibel dengan membenarkan sebahagian penduduk tetap yang terlepas tarikh akhir untuk mendapatkan semula status PR mereka jika mereka mempunyai sebab yang sah, seperti dimasukkan ke hospital di luar negara, menurut MHA dalam kenyataan media.
“Namun, ini bermakna bahawa penduduk tetap itu telah kehilangan status PR mereka dalam tempoh antara tarikh luput permit masuk dan pemulihan status PR,” menurut kementerian itu.
“Proses ini menimbulkan ketidakpastian mengenai status PR seseorang dan faedah yang berkaitan, dari masa dia kehilangan status PR sehingga permohonan permit masuk diluluskan.”
Mulai 1 Disember, penduduk tetap yang berada di luar Singapura tanpa permit masuk yang sah akan mempunyai tempoh tetap selama 180 hari untuk memohon permit tersebut sebelum kehilangan status PR mereka, menurut MHA.
Tempoh itu bermula pada 1 Disember bagi mereka yang berada di luar Singapura tanpa permit masuk yang sah pada tarikh berkenaan.
Bagi kes lain, tempoh itu bermula pada tarikh apabila penduduk tetap itu keluar dari Singapura tanpa permit masuk yang sah.
Penduduk tetap akan dapat mengekalkan status mereka jika mereka mengemukakan permohonan permit masuk dalam tempoh 180 hari dan ia diluluskan.
Mereka yang gagal memohon permit masuk dalam tempoh yang ditetapkan akan kehilangan status PR pada hari berikutnya selepas tempoh berkenaan berakhir, tanpa mengira sama ada mereka sudah kembali ke Singapura atau masih berada di luar negara.
Penduduk tetap yang memohon dalam tempoh yang ditetapkan tetapi gagal mendapatkan kelulusan juga akan kehilangan status PR pada hari berikutnya selepas permohonan mereka ditolak, menurut MHA.
Penduduk tetap akan mengekalkan status mereka sepanjang tempoh yang ditetapkan atau selanjutnya jika keputusan permohonan bagi permit masuk mereka masih belum diputuskan. Ini juga terpakai walaupun mereka berada di luar Singapura tanpa permit masuk yang sah pada masa itu.
Mereka yang tidak mempunyai permit masuk yang sah masih dibenarkan masuk semula ke Singapura dalam tempoh yang ditetapkan jika mereka memenuhi penilaian biasa ICA di pusat pemeriksaan imigresen Singapura,menurut kementerian itu.
“Individu-individu ini akan diberikan pas masuk sekali sahaja bagi PR untuk memasuki Singapura,” tambah MHA.
Kementerian itu menambah bahawa pindaan tersebut menjelaskan bahawa penduduk tetap mesti memohon permit masuk dalam tempoh 180 hari semasa berada di luar Singapura tanpa permit yang sah. Jika tidak, mereka akan kehilangan status PR.
Dengan proses yang disemak semula ini, tiada lagi saluran untuk mengembalikan status PR setelah penduduk tetap kehilangan status mereka, menurut MHA.
Mereka yang kehilangan status PR boleh mengemukakan permohonan baharu jika mereka layak untuk berbuat demikian, tambahnya.
“Kami menggalakkan penduduk tetap untuk mendapatkan permit masuk baharu atau memperbaharui permit yang hampir luput tepat pada masanya sebelum keluar dari Singapura, bagi mengurangkan risiko kehilangan status PR mereka.”
ICA juga akan mengemas kini syarat permit masuk bagi semua penduduk tetap. Syarat yang dikemas kini itu akan diterbitkan di laman web ICA pada 1 Disember.
Selaras dengan Akta Imigresen (Pindaan), penduduk tetap yang sebelum ini tidak diberikan permit masuk akan diberikan permit yang merangkumi syarat yang dikemas kini menjelang 1 Disember, menurut MHA.
Menurut kementerian tersebut, mereka yang diberikan status PR sebelum 1987 atau yang dilahirkan di Singapura sebelum 2005 tidak diberikan permit masuk sebelum ini disebabkan oleh amalan terdahulu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.