Skip to main content

Singapura

PPIS Vista Sakinah lancar buku baharu, bantu anak-anak fahami realiti keluarga tiri

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah buku kanak-kanak baharu dilancarkan untuk membantu anak-anak dari keluarga tiri memahami dan menangani realiti kehidupan keluarga tiri dan perkahwinan semula pada Ahad (14 Sep).

Berjudul “My Socks and I”, buku oleh PPIS Vista Sakinah itu akan digunakan dalam program persiapan dan pengukuhan perkahwinan pusat itu sebagai alat untuk memupuk dialog terbuka antara ibu bapa dan anak-anak berusia empat hingga 10 tahun berkenaan topik-topik dinamik perkahwinan semula dan keluarga tiri.

Buku kanak-kanak berjudul “My Socks and I”. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

"‘My Socks and I’ dihasilkan sebagai alat sokongan emosi untuk anak-anak yang dalam keluarga tiri. Ia menyampaikan mesej tentang perubahan keluarga dengan cara yang lembut dan mudah difahami, membantu anak-anak menyesuaikan diri dengan situasi baharu dengan lebih yakin dan penuh kasih sayang," kongsi Pengurus Kanan Pusat, Vista Sakinah, Cik Kamariah Yusoff kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Buku ini akan digunakan sebagai bahan interaktif dalam sesi-sesi konsultasi kami untuk membuka ruang perbincangan antara kaunselor kami dan anak-anak. Ia membantu anak-anak meluahkan perasaan mereka, memahami dinamik harga diri dan membina empati serta daya tahan emosi mereka," tambah beliau.

CETUS PERBUALAN ANTARA IBU BAPA DAN ANAK-ANAK MENERUSI BUKU BAHARU

Menurut Jabatan Perangkaan Singapura, daripada lebih 5,000 perkahwinan Islam yang didaftarkan di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA) tahun lalu, hampir sepertiga adalah pernikahan semula.

Kebanyakan daripadanya mempunyai anak di bawah usia 21 tahun, menjadikan ia satu isu yang turut perlu diharungi kanak-kanak.

Lantaran itu, buku itu diharap dapat mencetus perbualan antara ibu bapa dan anak-anak.

Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman lebih 15 tahun Vista Sakinah membantu keluarga-keluarga tiri.

Pengurus Kanan Pusat, Vista Sakinah, Cik Kamariah Yusoff. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

"Sebenarnya di Vista Sakinah, kami telah menghasilkan beberapa bahan rujukan yang kami gunakan dalam sesi dan kerja kami dengan keluarga tiri. Jadi buku ‘My Socks and I’ ini ialah buku kanak-kanak pertama yang kami terbitkan dan ia melengkapkan usaha kami untuk menyokong semua ahli keluarga dalam keluarga tiri," ujar Cik Kamariah.

"Kami merancang untuk mengadakan bengkel susulan, bengkel keibubapaan positif khusus untuk keluarga tiri di mana kami akan berkongsi cara menggunakan buku ini sebagai alat komunikasi dengan anak-anak mereka," tambah beliau.

CABARAN TERBESAR KELUARGA TIRI

Klien Vista Sakinah, Encik Muhammad Husaidil Mohamed Hussain dan isterinya, Amirah Mazlan. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Pendekatan menggunakan buku baharu itu juga dialu-alukan para hadirin termasuk Encik Muhammad Husaidil Mohamed Hussain dan isterinya, Amirah Mazlan, yang merupakan klien Vista Sakinah sejak tahun lalu.

Pasangan itu bernikah pada 2023, dengan dua anak daripada perkahwinan pertama Encik Husaidil, dan seorang anak bersama isterinya sekarang.

"Cabaran terbesar adalah untuk membina kepercayaan baharu antara saya dengan anak-anak tiri saya," kongsi Cik Amirah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Pada masa yang sama memberikan mereka ruang untuk suara dan perasaan mereka didengari," tambah suaminya, Encik Husaidil.

Lantaran itu menurutnya, adalah penting untuk mengutamakan anak-anak apabila membuat sebarang keputusan dan pilihan.

Ilustrasi dalam buku 'My Socks and I'. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Dengan pelancaran buku baharu itu, pasangan itu juga berpendapat bahawa ia merupakan alat yang baik sebagai titik perbincangan untuk keluarga tiri.

"Melalui cerita-cerita yang dipamerkan dalam buku tersebut, ia dapat menggambarkan sedikit sebanyak perasaan yang mereka (anak-anak) lalui - perasaan yang tidak tentu ataupun perasaan baharu yang mereka hadapi. Kami rasa ini dapat membawa atau melahirkan 'pointers' atau panduan untuk kami bincangkan sebagai satu keluarga," ujar Encik Husaidil.

AKTIVITI UNTUK ERATKAN HUBUNGAN KELUARGA TIRI

Selain pelancaran buku itu, pelbagai aktiviti mesra keluarga juga dapat dinikmati di karnival sempena sambutan Hari Keluarga Tiri Nasional yang dianjurkan di Woodlands.

Aktiviti-aktiviti itu juga disediakan bagi mengeratkan lagi hubungan anggota keluarga tiri.

Anggota Parlimen Zhulkarnain Abdul Rahim bersama para hadirin di acara PPIS Vista Sakinah. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Tetamu kehormat Anggota Parlimen, Zhulkarnain Abdul Rahim turut menekankan kepentingan acara itu.

"Saya juga telah berjumpa dengan beberapa keluarga antaranya penduduk daripada kawasan undi saya. Mereka mengiktiraf perjalanan ini bagi keluarga tiri ataupun keluarga berangkai. Acara seperti ini memberikan mereka satu wadah dan ruang untuk mereka berkongsi ilmu, pendapat dan pengalaman mereka, supaya mereka dapat sentiasa rasa disokong," kongsi Encik Zhulkarnain.

"Ia juga menunjukkan komitmen dan dedikasi masyarakat kita, badan kebajikan kita seperti PPIS dan pemerintah untuk membina sebuah masyarakat yang inklusif, penyayang dan amat prihatin buat semua lapisan masyarakat, tidak kira bentuk keluarga," tambahnya.

ENCIK ZHULKARNAIN INGIN PERJUANG DASAR, INISIATIF UNTUK SOKONG KELUARGA TIRI

Encik Zhulkarnain semasa sesi bercerita di acara PPIS Vista Sakinah. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Encik Zhulkarnain yang akan mula menyandang jawatan sebagai Menteri Negara, Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Februari depan, berkata keluarga yang kukuh merupakan asas yang penting bagi pembangunan negara.

Beliau berkata: "Dengan sokongan ini, kita perlu melibatkan bukan sahaja pasangan tetapi juga anak-anak kita yang sedang menyesuaikan diri dalam struktur keluarga yang baharu."

"Dalam peranan saya di MSF, saya akan terus memperjuangkan dasar dan inisiatif yang dapat mendukung dan menyokong kestabilan emosi dan hubungan sihat termasuk melalui program kaunseling, program pendidikan keibubapaan dan bahan seperti buku, ‘My Socks and I’ yang dilancarkan hari ini."

Seramai 150 orang menghadiri acara ini menjelang sambutan Hari Keluarga Tiri Nasional pada 16 September ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita