Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS ucap tahniah kepada bakal ketua eksekutif baru MUIS; alukan kerjasama perkukuh masyarakat

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengucapkan tahniah kepada Encik Kadir Maideen yang bakal mengambil alih tugas sebagai Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bermula 1 Nov nanti.

Anggaran Waktu Membaca:
PPIS ucap tahniah kepada bakal ketua eksekutif baru MUIS; alukan kerjasama perkukuh masyarakat

Encik Kadir Maideen akan mengambil alih Encik Esa Masood sebagai Ketua Eksekutif MUIS mulai 1 November. (Gambar: Kadir Maideen/Facebook; MUIS)

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengucapkan tahniah kepada Encik Kadir Maideen yang bakal mengambil alih tugas sebagai Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bermula 1 Nov nanti.

Dalam kenyataannya pada Jumaat (17 Sep), PPIS turut merakamkan sekalung budi kepada Ketua Eksekutif MUIS sekarang, Esa Masood, dalam memimpin penguasa agama itu terutama di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang mencabar.

Awal Jumaat, Encik Esa mengumumkan di Facebook bahawa timbalannya Encik Kadir bakal mengambil alih tugas beliau, yang digalas sejak empat tahun lalu.

Encik Kadir menyertai MUIS sebagai Timbalan Ketua Eksekutif pada Januari tahun ini.

Sebelum itu beliau berpangkat Kolonel dan menyandang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dengan khidmat cemerlang selama 25 tahun dalam pasukan tersebut.

Jawatan terakhir beliau sebelum menjadi Timbalan Ketua Eksekutif MUIS ialah selaku Komander Hab Khidmat Korporat SCDF dan Pengarah Institut Latihan Perkhidmatan Negara (NSTI) SCDF.

PPIS turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan pengalaman selama berpuluh-puluh yang ditimba oleh Encik Kadir dalam Perkhidmatan Awam akan membantu MUIS untuk memperluaskan lagi usaha pendampingan dan kerjasama sedia ada dengan badan-badan Melayu/Islam (MMO).

"PPIS bersedia menyumbang kepada usaha memajukan misi MUIS dalam bekerjasama dengan masyarakat untuk membentuk Masyarakat Gemilang dan mengukuhkan institusi-institusi yang dinamik," menurut PPIS.

PPIS juga merakamkan penghargaannya kepada Encik Esa atas kepimpinannya dalam "membimbing masyarakat Islam mengharungi pandemik COVID-19 yang menjejas kehidupan sosio-agama umat Islam di Singapura".

PPIS menambah pihaknya sejak tiga tahun lalu menjalin kerjasama yang rapat dengan MUIS menerusi daya usaha seperti SGTeguhBersatu dan SG United Buka Puasa.

Presiden PPIS Hazlina Abdul Halim berkata: "Kepimpinan Encik Esa sangat penting semasa mengharungi masa-masa yang tidak menentu. Komitmennya yang teguh memastikan masyarakat berupaya mengakses pelbagai bantuan dan sokongan semasa pandemik ini.

"Terima kasih atas dedikasi, sumbangan tidak terhingga dan keyakinan anda dalam usaha sama demi mempertingkatkan impak kerja-kerja kita."

Dalam pada itu PPIS menyatakan ia mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan MUIS demi memperkukuh keluarga dan masyarakat Islam menuju ke visi Masyarakat Gemilang.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa