Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS As-Salaam agih 800 hadiah istimewa sempena sambutan Hari Kanak-Kanak

Dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Kanak-Kanak, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengagihkan 800 set hadiah istimewa kepada murid-murid daripada tujuh pusat prasekolah dan dua pusat jagaan pelajar kendaliannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Kanak-Kanak, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengagihkan 800 set hadiah istimewa kepada murid-murid daripada tujuh pusat prasekolah dan dua pusat jagaan pelajar kendaliannya.

Demikian menurut PPIS dalam kenyataan medianya pada Khamis (7 Okt).

Buat julung-julung kalinya tahun ini, pengagihan hadiah itu turut melibatkan murid-murid tahun akhir dari tiga pusat Iyad Perdaus serta murid-murid tadika dari Masjid Al-Ansar.

Tahun ini sudah masuk tahun kelapan, PPIS As-Salaam iaitu Agensi Kepakaran Sokongan Perceraian (DSSA) mengusahakan inisiatif itu.

Dalam setiap set hadiah, murid-murid menerima satu teka-teki tangram iaitu sejenis alat pembelajaran yang bantu mengasah kemahiran penting dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Para ibu bapa juga tidak terkecuali daripada pengagihan set hadiah itu. Mereka juga menerima rantai kunci DIY yang boleh ditulis mesej-mesej positif atau lukisan daripada kanak-kanak kepada ibu bapa mereka.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha pendidikan awam PPIS untuk menekankan betapa pentingnya hubungan ibu bapa dengan anak-anak serta pembelajaran menerusi permainan daripada anak-anak kepada ibu bapa, sempena sambutan Hari Kanak-Kanak.

"Di PPIS, kami berpegang teguh kepada prinsip yang menjadikan pembelajaran sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan kami berharap inisiatif ini akan menggalak ibu bapa dan anak-anak untuk meluangkan masa bersama dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan di samping meneroka daya kreativiti dan pemikiran kritis secara bersama.

"Dengan kanak-kanak kini duduk di rumah, hadiah ini sangat bertepatan untuk mereka belajar bersama-sama dengan ibu bapa mereka," kata Ketua Eksekutif PPIS Tuminah Sapawi.

Menurut Cik Tuminah, matlamat PPIS As-Salaam adalah untuk mengukuhkan lagi pendidikan awal kanak-kanak dan memupuk ikatan kekeluargaan yang lebih erat supaya dapat membentuk sebuah masyarakat dengan ekosistem yang bersedia menempuhi kehidupan bersama.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan