Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS Oasis lancar buku amalan terbaik penjagaan anak titipan

Sempena ulang tahunnya yang kelima, pusat PPIS Oasis telah melancarkan sebuah buku kompilasi amalan terbaik mengenai penjagaan anak titipan.

Anggaran Waktu Membaca:
PPIS Oasis lancar buku amalan terbaik penjagaan anak titipan

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

SINGAPURA: Sempena ulang tahunnya yang kelima, pusat PPIS Oasis telah melancarkan sebuah buku kompilasi amalan terbaik mengenai penjagaan anak titipan.

Buku bertajuk 'Fostering Relationships - A Collection of Best Practices by Foster Parents and Professionals' itu dilancarkan di satu jamuan teh meraikan ulang tahun PPIS Oasis di Trehaus di Funan Mall hari ini (5 Nov).

Ia dihadiri kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada ibu bapa titipan dan anggota lembaga PPIS.

Sejak ditubuhkan pada 2017, PPIS Oasis telah menguruskan 245 anak titipan.

Buku tersebut menghimpunkan amalan-amalan terbaik penjagaan anak titipan yang dikongsi ibu bapa titipan yang lebih berpengalaman serta para pakar dalam bidang itu.

Terdapat panduan bagaimana untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat untuk anak-anak titipan.

"Buku ini adalah penerbitan pertama PPIS Oasis dan ini adalah satu usaha kami untuk memperkasakan ibu bapa titipan yang mungkin baru menjalani hidup mereka sebagai ibu bapa titipan.

"Jadi dengan adanya panduan dalam buku ini, mereka dapat kemudahan sedikit untuk memastikan bahawa perjalanan mereka berjalan lebih baik," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Tuminah Sapawi.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

Turut dikongsi dalam buku tersebut adalah resipi-resipi makanan yang boleh dimanfaatkan oleh para ibu bapa titipan.

"Pada kami buku ini yang diterbitkan oleh PPIS Oasis sangat membantu kerana ia memberi motivasi dan kita boleh mempelajari daripada pengalaman-pengalaman ibu bapa titipan yang lain yang disumbangkan dalam buku ini," kata Cik Zubaidah Abdullah Sani, yang merupakan ibu titipan kepada dua orang anak titipan berusia 18 bulan dan 5 tahun.

PPIS OASIS INGIN DAMPINGI LEBIH RAMAI IBU BAPA TITIPAN

Dalam ucapannya, Naib Presiden PPIS Suree Rohan berkongsi usaha PPIS Oasis untuk mendampingi lebih ramai ibu bapa supaya tampil menjadi ibu bapa titipan.

"Sedang bilangan anak titipan semakin meningkat, terdapat juga keperluan untuk menarik lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam untuk tampil sebagai ibu bapa titipan," kata Cik Suree.

Mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan atau ibu bapa titipan boleh mendapatkan maklumat lanjut di pameran bergerak PPIS Oasis di Festive Walk di Hab Tampines Kita hujung minggu ini.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan