Skip to main content

Singapura

PPIS luah kebimbangan penahanan remaja perempuan yang jadi radikal di bawah ISA

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap penahanan seorang remaja perempuan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Anggaran Waktu Membaca:
PPIS luah kebimbangan penahanan remaja perempuan yang jadi radikal di bawah ISA

Petikan skrin dari Facebook/PPIS.

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap penahanan seorang remaja perempuan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kes itu adalah yang pertama melibatkan seorang remaja perempuan yang terpengaruh dengan fahaman radikal.
Dalam kenyataannya di Facebook pada Rabu (2 April), PPIS menegaskan bahawa ia adalah peringatan serius mengenai ancaman berterusan serta evolusi radikalisasi dalam talian, terutamanya dalam kalangan anak muda.

"Kami amat prihatin terhadap bagaimana perkembangan sebegini memberi kesan bukan sahaja kepada masyarakat secara keseluruhan, tetapi juga terhadap kesejahteraan mental dan emosi wanita serta anak-anak perempuan kita," menurut kenyataan PPIS itu.

Persatuan itu juga menegaskan pendiriannya dalam menolak sebarang bentuk ekstremisme dan kebencian.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk ekstremisme, kebencian, dan keganasan. Tindakan ini bertentangan dengan nilai-nilai keamanan, keadilan, dan belas kasihan yang menjadi asas kepercayaan dan masyarakat kita," kata PPIS.

Sehubungan itu, PPIS menggesa masyarakat, khususnya ibu bapa dan keluarga, agar lebih berwaspada dan mewujudkan ruang selamat bagi perbincangan terbuka dan berhemah di rumah, sekolah, serta dalam komuniti.

"Adalah penting untuk kita memperkasakan wanita dan anak-anak perempuan kita agar mereka dapat menilai maklumat yang ditemui dalam talian secara kritis, bertanya soalan, dan mencari ilmu daripada sumber yang boleh dipercayai dan diyakini. Marilah kita membina budaya di mana meminta pertolongan dilihat sebagai satu kekuatan, bukan kelemahan," tambah kenyataan itu.

PPIS turut menegaskan komitmennya dalam menyokong wanita dan keluarga melalui program pendidikan, jangkauan masyarakat, serta kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.

"Bersama-sama, kita dapat membina ketahanan, menyemai sifat belas kasihan, dan melindungi keamanan serta keharmonian yang kita semua hargai," kata PPIS.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita