Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS lantik 4 Rakan dan Duta Bahasa Cilik

Anggaran Waktu Membaca:
PPIS lantik 4 Rakan dan Duta Bahasa Cilik

Salah seorang daripada 4 Duta Bahasa Cilik yang dilantik PPIS. (Gambar: PPIS/Facebook)

SINGAPURA: Empat Rakan dan Duta Bahasa Cilik dilantik bagi menyebarkan rasa cinta terhadap Bahasa Melayu.

Untuk tempoh setahun ke depan mereka akan mendampingi rakan-rakan sebaya menggunakan bahasa ibunda.

Ini dilakukan bagi meningkatkan kesedaran tentang bahasa dan warisan Melayu.

Pelantikan buat julung kalinya itu dibuat di acara Bulan Bahasa pusat jagaan pelajar Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

"Saya boleh mengajak teman-teman saya menggunakan bahasa Melayu dalam perbualan harian kami seperti contoh semasa bermain bersama-sama kami boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Selain itu kami boleh menggunakan bahasa Melayu semasa menghantar mesej melalui WhatsApp. Akhir sekali saya boleh mengajak teman-teman saya mendengar dan menyanyikan lagu Melayu.," kata Duta Bahasa Cilik, Mohamad Rizqin Zaydan Mohamad Rashid, 10 tahun.

Di samping itu para Rakan dan Duta Cilik yang dilantik berpeluang menajamkan pengetahuan dan keupayaan mereka tentang bahasa ibunda.

Mereka akan dapat menghadiri bengkel dan kegiatan yang dianjurkan Majlis Bahasa Melayu Singapura.

"Idea untuk menganjurkan Rakan Bahasa Cilik dan Duta Bahasa Cilik adalah untuk memastikan kanak-kanak ini diberi peluang untuk menjadi peran contoh kepada para pelajar yang lain jadi mereka boleh menjadi inspirasi kepada para pelajar yang lain untuk turut menjadi duta bahasa dan rakan bahasa yang boleh mempertingkatkan penguasaan Bahasa Melayu," kata CEO PPIS, Tuminah Sapawi.

Melalui Peraduan Bahasa Cilik yang diadakan di Wisma Geylang Serai pada Rabu (19 Okt), 16 kanak-kanak dari pusat jagaan pelajar 7Oaks beradu kepetahan.

Mereka bertanding dalam tiga kategori iaitu nyanyian, pidato umum dan baca puisi.

Di samping itu, para pelajar juga memperingati tokoh-tokoh wanita Melayu berpengaruh pada masa lalu dan kini sempena sambutan jubli platinum PPIS tahun ini.

Acara itu turut dihadiri tetamu kehormat Dr Faishal Ibrahim selaku Pengerusi Majlis Bahasa dan sekitar 200 tetamu lain termasuk para ibu bapa.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan