Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS lancar tabung maya '#recov-HER' untuk sokong kesejahteraan dan kesihatan mental wanita

Sebuah kempen kutipan dana secara maya bagi menyokong kesejahteraan dan kesihatan mental kaum wanita Muslim dilancarkan oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dengan kerjasama Safinah Institute.

Anggaran Waktu Membaca:
PPIS lancar tabung maya '#recov-HER' untuk sokong kesejahteraan dan kesihatan mental wanita

(Gambar: Laman giving.sg/PPIS)

SINGAPURA: Sebuah kempen kutipan dana secara maya bagi menyokong kesejahteraan dan kesihatan mental kaum wanita Muslim dilancarkan oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dengan kerjasama Safinah Institute.

Dilancarkan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada 10 Oktober, kempen #recov-HER bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam berhubung isu kesejahteraan dan kesihatan mental kaum wanita di samping meningkatkan akses kepada khidmat sedemikian dalam kalangan kaum wanita yang memerlukan.

Dalam kenyataan media pada Jumaat (9 Okt), PPIS menyatakan bahawa permintaan bagi sokongan kesihatan mental dan psikososial akan terus meningkat dalam beberapa bulan mendatang ekoran pandemik COVID-19 yang menjejas kehidupan orang ramai.

Menurut pusat kepakaran khidmat terapi keluarga PPIS, SYM Academy, jumlah individu, pasangan dan keluarga yang mendapatkan bantuan selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 perlahan-lahan semakin meningkat.

Purata jumlah pertanyaan secara mingguan bagi terapi pula meningkat kepada tiga kali ganda pada Julai berbanding purata mingguan pada Mei.

Justeru, PPIS berharap dapat menyumbang kepada usaha mengukuhkan daya tahan psikososial dalam masyarakat dengan menambah sumber-sumber masyarakat sedia ada demi memperbaiki kesihatan mental dan kesahteraan kaum wanita Muslim.

Ini termasuk memperkenalkan SYM Academy sebagai ruang selamat bagi kaum wanita 'untuk pulih semula' atau #recov-HER.

"PPIS sebagai pertubuhan perintis wanita Muslim, berharap untuk merubah keadaan kaum wanita dalam masyarakat Melayu/Islam. Kami mendengar cabaran-cabaran mereka mengharungi masa-masa tidak diduga dan tidak menentu ini.

"Meskipun kempen ini hanya titik permulaan, PPIS berharap untuk mendorong lebih banyak perbualan yang diperlukan dan menyediakan lebih banyak ruang selamat dalam usaha kami untuk membiasakan perbincangan dan menghapuskan stigma kesihatan mental," kata Presiden PPIS Rahayu Mohamad.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada tabung maya #recov-HER boleh berbuat demikian melalui laman www.giving.sg/ppis/recov_her.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan