PPIS dilantik kendali rumah peralihan bekas penagih, pesalah wanita jelang 2023
Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dilantik untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara Singapura (SPS) untuk mengendalikan sebuah rumah peralihan bagi bekas penagih dan pesalah wanita menjelang 2023.
BERITAmediacorp: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dilantik untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara Singapura (SPS) untuk mengendalikan sebuah rumah peralihan bagi bekas penagih dan pesalah wanita menjelang 2023.
Pelantikan PPIS itu atas kepakarannya dalam isu keluarga dan wanita termasuk rangkaian sokongan yang luas kepada keluarga berisiko dan memerlukan.
Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim mendedahkan demikian semasa melawat rumah peralihan Turning Point pada Isnin (12 Okt).
PELANTIKAN PPIS PERLUAS SOKONGAN BAGI BEKAS PESALAH WANITA
Menurut Dr Faishal, rumah-rumah peralihan di Singapura menawarkan sistem sokongan yang kukuh dalam proses pemulihan bekas pesalah yang mahu memperbaiki kehidupan mereka.
Dr Faishal berkata: "Rumah peralihan telah memainkan peranan penting dalam bagaimana kita dapat memberikan ruang pemulihan kepada bekas pesalah dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rumah peralihan di Singapura."
Pelantikan PPIS akan memperluaskan lagi sokongan yang dihulurkan kepada bekas pesalah wanita.
"Kita sedang bekerjasama dengan PPIS untuk membangunkan satu lagi rumah peralihan untuk kaum wanita yang akan mula mengambil bekas pesalah pada permulaan 2023 di mana ia akan meluaskan lagi sokongan yang diberikan kepada bekas pesalah wanita. Saya yakin PPIS dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik kerana PPIS mempunyai rangkaian yang luas dalam memberikan sokongan kepada keluarga-keluarga berisiko dan yang memerlukan," ujar Dr Faishal.
Malah, beliau yakin dengan adanya sokongan lebih mantap, golongan wanita yang memerlukan sokongan dari segi proses pemulihan akan pulih lebih baik.
Mentelah lagi, golongan itu boleh menyumbang bukan sahaja dalam pembangunan keluarga tetapi juga dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Rumah Peralihan di bawah PPIS itu akan menerima pesalah wanita tanpa mengira kaum dan agama.
Dua lagi badan Melayu/Islam - Jamiyah dan Pertapis kini menyediakan program pemulihan bagi menyokong bekas pesalah kembali ke pangkuan masyarakat.
PPIS AKAN PERKUKUH SOKONGAN DAN KHIDMAT JAGAAN
Dalam pada itu, PPIS menyatakan bahawa dengan pengalaman dan khidmat menyeluruh yang ditawarkan persatuan itu, ia akan mengukuhkan lagi sokongan dan khidmat jagaan bagi bekas pesalah.
Bahkan, pusat khidmat keluarga persatuan itu, kini bekerja rapat dengan pesalah dan keluarga mereka dalam menyediakan sokongan sosial, emosi dan kewangan.
PPIS sedang merintis program intervensi bagi pesalah wanita yang sedang menjalani hukuman dan ia akur akan peri pentingnya menyediakan ruang yang selamat untuk golongan wanita tersebut menjalani program pemulihan.
Presiden PPIS, Rahayu Mohamad berkata: “Golongan wanita adalah tunggak dalam keluarga dan masyarakat. Kami berharap dapat menyediakan persekitaran yang dapat meningkatkan perjalanan mereka menuju perubahan supaya mereka berintegrasi semula dengan lebih baik ke dalam keluarga dan masyarakat.”
RUMAH PERALIHAN BUKA LEMBARAN HIDUP BARU
Semasa kunjungan Dr Faishal ke Turning Point, beliau dapat menyaksikan para penghuni di sana menjalani kegiatan seharian mereka seperti melukis, menghasilkan kraf tangan serta membuat biskut.
Program-program seni dan kemahiran di satu-satunya rumah peralihan bagi^bekas penagih dan pesalah wanita itu membantu penghuni di sana membuka lembaran kehidupan baru apabila kembali ke pangkuan masyarakat.
Menurut Dr Faishal, rumah-rumah peralihan di Singapura menawarkan sistem sokongan yang kukuh dalam proses pemulihan bekas pesalah yang mahu memperbaiki kehidupan mereka.
Misalnya, Turning Point menyediakan prasarana serta program-program peningkatan kemahiran sebagai sebahagian daripada proses mempersiapkan diri sebelum dibebaskan kelak.
Buat masa ini, Turning Point mampu menampung sehingga 28 penghuni.
Dr Faishal berkata: "Rumah peralihan telah memainkan peranan penting dalam bagaimana kita dapat memberikan ruang pemulihan kepada bekas pesalah dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rumah peralihan di Singapura."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.