Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS bentang 7 saranan bagi kertas putih semakan isu wanita

Memastikan pelaksanaan dasar-dasar dan amalan-amalan di tempat kerja yang menyokong keluarga seperti aturan kerja fleksibel serta mendampingi kaum Adam untuk bersama-sama menyuarakan dan mengubah salah tanggapan tentang peranan berdasarkan jantina dalam menjalankan tanggungjawab keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memastikan pelaksanaan dasar-dasar dan amalan-amalan di tempat kerja yang menyokong keluarga seperti aturan kerja fleksibel serta mendampingi kaum Adam untuk bersama-sama menyuarakan dan mengubah salah tanggapan tentang peranan berdasarkan jantina dalam menjalankan tanggungjawab keluarga.

Demikian antara tujuh saranan yang dibentangkan oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) hari ini (21 Jul) dalam usaha menyumbang kepada Kertas Putih semakan Singapura ke atas isu-isu wanita.

Saranan-saranan itu adalah hasil daripada sesi-sesi perbincangan berstruktur yang dianjurkannya Disember tahun lalu melibatkan 42 pemimpin masyarakat dan anggota masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Menurut PPIS, saranan-saranan yang dikemukakannya bagi semakan isu wanita itu dapat mengubah secara bertahap-tahap "corak pemikiran masyarakat Islam berhubung peranan dan norma jantina" serta sokongan daripada kaum Adam bagi pembangunan golongan wanita.

Perubahan itu, tambah PPIS, diharap dapat bermula dengan perubahan dasar, pendidikan dan usaha sokongan (advocacy).

"Dasar-dasar dan perundangan mempunyai peranan berkesan dalam membentuk minda masyarakat dan mempengaruhi kelakuan. Semakan negara ke atas isu-isu wanita ini tepat pada masanya sedang kita mencari haluan dalam norma baru menangani cabaran-cabaran yang muncul dengan adanya pandemik COVID-19.

"Dalam menangani isu-isu yang meninggalkan kesan ke atas masyarakat Muslim khususnya, penting untuk mengetahui bahawa hubungan antara ruang-ruang awam dan privet perlu diharmonikan untuk membantu kaum wanita maju dan membangun dalam kedua-dua ruang tersebut," menurut PPIS.

Berikut adalah tujuh saranan yang dibentangkan PPIS:

DASAR

  • Perhebat galakan dan mungkin insentif daripada Pemerintah supaya para majikan melaksanakan amalan-amalan yang menyokong keluarga untuk menyokong wanita dalam peranan mereka baik di ruang awam atau privet.
    PPIS menjelaskan dasar-dasar pro keluarga seperti aturan kerja fleksibel dan cuti penjagaan anak/keluarga sudah tersedia, namun masih terdapat sebilangan majikan yang keberatan untuk menyokong sepenuhnya kerana kebimbangan ia menjejas prestasi kerja.
  • Perkukuh amalan pengambilan pekerja dan menaikkan pangkat serta pembaharuan tampuk kepimpinan berdasarkan merit dan menggalak kerencaman dan sekitaran inklusif di tempat kerja untuk menggalak kesaksamaan jantina dan rundingan semula peranannya.
    Menurut PPIS, ini penting untuk menangani budaya dan sekitaran kerja yang sudah berakar umbi dan mungkin secara tidak sengaja menyumbang kepada diskriminasi di tempat kerja sekali gus menyokong amalan pengambilan kerja secara adil yang ditangani Perikatan Tiga Pihak.
  • Panduan bagi salah laku seksual di tempat kerja patut ditetapkan bagi melindungi kebajikan pekerja. Rangka kerja sedemikian boleh dibentuk di peringkat nasional dan disesuaikan mengikut sekitaran tempat kerja.
    Saluran betul bagi aduan-aduan perlu ditubuhkan agar para mangsa di tempat kerja boleh bersuara terhadap sebarang bentuk penderaan tanpa perlu berasa bimbang periuk nasi mereka akan terjejas. Lebih ramai wanita dalam jawatan kepimpinan juga perlu demi memastikan perubahan dasar berkaitan jantina dilaksana di semua peringkat.

PENDIDIKAN DAN SOKONGAN

  • Menganjak minda masyarakat berhubung isu peranan jantina, diskriminasi tempat kerja dan perbuatan merendahkan wanita sebagai objek seksual, menerusi garis panduan media dan kempen-kempen. PPIS menekankan peranan penting media dalam mempengaruhi pandangan masyarakat kepada peranan wanita, dengan menyanggah stereotaip dan menampilkan contoh teladan positif.
  • Bimbingan oleh wanita untuk wanita perlu digalakkan untuk membina keyakinan diri mereka dan mengupaya perkongsian amalan-amalan terbaik dalam mengharungi isu-isu di tempat kerja.
  • Perbincangan dan wacana antara wanita dan pihak-pihak berkepentingan, termasuk golongan lelaki penting dalam usaha memperkukuh ekosistem sokongan bagi pembangunan wanita Muslim. PPIS menambah terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran bagaimana Islam menekankan sikap saling menghormati, serta menjaga kehormatan dan maruah segenap masyarakat termasuk golongan wanita. Pendekatan sokongan seluruh masyarakat penting dalam menangkis seksisme bersahaja (casual sexism) dan sikap berat sebelah kepada satu-satu jantina.

SOKONGAN KAUM ADAM

  • Gembleng sokongan kaum lelaki untuk memperjuangkan isu-isu wanita dan berkongsi bagaimana orang lelaki boleh berkongsi tanggungjawab dalam keluarga. Demi melenyapkan nilai-nilai patriarki, kaum Adam harus berkongsi secara saksama tanggungjawab domestik, selain lantang bersuara dalam memperjuangkan isu-isu yang menjejas golongan wanita.

PPIS MAHU TERUS SUMBANG KEPADA USAHA MASA DEPAN

Pada September 2020, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam mengumumkan siri perdampingan dan perbincangan antara pihak awam, privet dan badan-badan bukan pemerintah akan dimulakan untuk meneliti dan menangani isu-isu yang menjejas golongan wanita di Singapura.

Hasil proses semakan itu akan dikumpulkan dalam satu Kertas Putih yang akan dibentangkan Pemerintah pada separuh pertama tahun ini.

Baru-baru ini, Sayap Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan kumpulan sokongan wanita AWARE turut mengetengahkan saranan masing-masing sebagai menyumbang kepada proses semakan itu.

Sebagai langkah susulan, PPIS menyatakan pihaknya akan terus mengumpulkan lebih banyak pandangan dan data berdasarkan bukti dalam mengetengahkan aspirasi dan keperluan wanita Muslim kontemporari hari ini, selain cabaran yang diharungi mereka baik di ruang awam mahupun privet.

"Sebagai badan perintis wanita Muslim di Singapura, PPIS berharap untuk terus menyumbang kepada usaha masa hadapan hasil daripada semakan ini," tambah PPIS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan