PPIS agih 80 pakej bantuan termasuk sejadah, pelitup kepada bekas pesalah
Seiring dengan pembukaan semula masjid-masjid bagi solat Jumaat hari ini (26 Jun), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengagihkan pakej bantuan yang antara lain mengandungi sejadah, pelitup dan cecair pembasmi kuman kepada para bekas pesalah.
SINGAPURA: Seiring dengan pembukaan semula masjid-masjid bagi solat Jumaat hari ini (26 Jun), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengagihkan pakej bantuan yang antara lain mengandungi sejadah, pelitup dan cecair pembasmi kuman kepada para bekas pesalah.
Sebanyak 80 pakej bantuan bernilai $40 setiap satu dibahagikan oleh Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin di Masjid Khalid siang tadi sempena inisiatif PPIS Raikan Ihsan.

Kandungan pakej bantuan itu termasuk pelitup, sejadah dan cecair pembasmi kuman. (Gambar: PPIS)
Beliau menekankan bahawa pakej bantuan berkenaan menunjukkan sifat peduli masyarakat terhadap bekas pesalah.
“Ini adalah satu usaha kecil untuk kita menunjukkan yang kita memikir tentang mereka. Kita ambil berat dan mengutamakan kebajikan mereka.
“Kita berfikir tentang kehidupan seharian mereka dan ingin membantu mereka untuk terus mengharungi cabaran masa kini dan akan sentiasa mendampingi mereka,” jamin beliau.
ALU-ALUKAN SOKONGAN MASYARAKAT
Ramai orang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 terutama mereka daripada golongan paling berisiko, kata Encik Amrin.
Oleh itu, usaha sedemikian yang merupakan hasil kerjasama PPIS, Khidmat Kaunseling Muslim dan Masjid Khalid di samping program-program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga atau FITRAH dan Program Pembangunan dan Integrasi Semula (DRP) anjuran AMP, sangat dialu-alukan.

Encik Amrin Amin mengalu-alukan sokongan dalam menyantuni golongan bekas pesalah. (Gambar: BERITAmediacorp/Said Mahadi)
Beliau melahirkan rasa bangga atas semangat dan kesungguhan masyarakat Melayu/Islam demi membantu golongan yang memerlukan, termasuk bekas pesalah dan keluarga mereka.
“Ramai yang memerlukan sangat-sangat terjejas dari segi pekerjaan, pendapatan dan juga sokongan emosi. Jadi saya gembira kerana badan-badan Melayu/Islam tampil ke hadapan untuk memberi mereka dampingan, sokongan dan harapan,” luah beliau.
Mujur, menurut kenyataan PPIS yang merujuk kepada kajian Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, pelibatan kumpulan-kumpulan keagamaan boleh membantu bekas pesalah dalam proses pemulihan bahkan sokongan kerohanian penting sedang mereka berusaha kembali kepada masyarakat.
Lantaran itu, PPIS membuka pintunya untuk turut menghulurkan bantuan kepada golongan berkenaan lebih-lebih lagi di tengah-tengah masa yang mencabar ini.
“Apa yang kami ingin lakukan adalah terus mendekati semua lapisan masyarakat tidak kira siapa mereka.
“Kalau sebelum ini kami biasa mendekati keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah, kami juga ingin terus membantu bekas pesalah dan juga keluarga mereka dalam mengharungi wabak COVID-19,” jelas Pengarah Perhubungan & Pembangunan Sumber PPIS Farid Hamzah.

Seorang bekas pesalah menerima agihan pakej bantuan. (Gambar: BERITAmediacorp/Said Mahadi)
Salah seorang bekas pesalah dan penerima agihan hari ini menyambut baik inisiatif itu dan menyuarakan harapan agar lebih banyak badan-badan masyarakat akan tampil menyantuni golongan bekas pesalah.
Katanya: “Bagi pihak bekas pesalah, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada PPIS dan Masjid Khalid atas pakej-pakej bantuan yang diberikan. Saya berharap ia menjadi titik tolak bagi kami untuk bekerjasama lagi dengan PPIS pada masa hadapan,” katanya yang kini bergelar ustaz setelah diluluskan di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) kelolaan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.