Skip to main content

Singapura

Potongan rebat PARF dijangka tidak jejas secara ketara pembaharuan COE: Jeffrey Siow

Anggaran Waktu Membaca:
Potongan rebat PARF dijangka tidak jejas secara ketara pembaharuan COE: Jeffrey Siow
Kereta dan kenderaan lain di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
 
Diterbitkan : 04 Mar 2026 02:08PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 02:16PM
SINGAPURA: Pengurangan rebat untuk pemilik kereta yang melupuskan kenderaan mereka lebih awal kurang berkemungkinan akan menjejas secara ketara keputusan untuk memperbaharui Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE), kata Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow pada Rabu (4 Mac).

Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan parlimen mengenai rebat Yuran Pendaftaran Tambahan Pilihan (PARF) yang disemak semula, termasuk sama ada ia akan menjejaskan harga dan permintaan kereta, dan sama ada kajian sudah pun dijalankan.

Encik Siow berkata rebat PARF bertujuan untuk memastikan kenderaan di Singapura lebih baharu, lebih selamat dan kurang mencemarkan.

Rebat diberikan kepada mereka yang melupuskan kereta mereka sebelum tamat tempoh COE 10 tahun.

Dengan kenderaan elektrik menjadi lebih popular, kurang insentif diperlukan untuk menggalakkan pembatalan pendaftaran awal, tambahnya.

Rebat dikurangkan sebanyak 45 mata peratusan dan kini dihadkan pada S$30,000.

Pemilik kenderaan sebelum ini boleh menerima rebat antara 50 peratus dengan 75 peratus, dihadkan pada S$60,000.

"Kami tidak menjangkakan perubahan ini akan memberi kesan ketara terhadap cara pembaharuan COE," kata Encik Siow.

Dalam sesi bidaan COE yang pertama selepas skim rebat itu disemak semula, harga premium COE sebahagian besar tidak berubah.

Premium untuk kereta lebih berkuasa dalam Kategori B merosot paling banyak, iaitu sebanyak 5.3 peratus dan ia lebih rendah berbanding premium untuk kereta lebih kecil dalam Kategori A.

Beberapa pemerhati pasaran berkata mereka menjangkakan harga COE akan jatuh lebih rendah lagi, tetapi ramai pembeli mungkin sudah menandatangani kontrak jualan dan membayar jumlah deposit yang besar.

Penganalisis sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa kereta mewah akan lebih merasai kesan perubahan itu, kerana rebat PARF dikira berdasarkan Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF) yang dibayar oleh pemilik kereta, yang dikaitkan dengan nilai pasaran terbuka kenderaan tersebut.

Ini bermakna kereta yang lebih mahal dengan COE yang dibeli sebelum rebat disemak semula akan layak mendapat rebat jauh lebih tinggi berbanding kereta yang sama dengan COE yang dibeli selepas perubahan itu berkuat kuasa.

"Kurang 2,000 pembeli kereta yang sudah membuat komitmen pembelian dianggarkan terjejas," kata Encik Siow. "Mereka termasuk kebanyakannya pembeli kereta enjin pembakaran dalaman kelas atasan."

Sesi bidaan COE yang kedua pada Februari lalu menyaksikan 1,289 bidaan dibuat di bawah Kategori A dan 812 di bawah Kategori B.

Encik Siow berkata pembeli dengan perjanjian pembelian sedia ada yang belum mendapatkan COE boleh cuba mencari persetujuan yang boleh diterima bersama dengan peniaga mereka. Sesetengah peniaga sudah pun membuat aturan alternatif dengan pembeli yang terjejas, katanya.

Bagi menangani persoalan sama ada langkah peralihan dipertimbangkan untuk mengurangkan kesan kewangan yang tidak diingini ke atas pembeli kereta, Encik Siow berkata perubahan itu dilaksanakan dengan serta-merta, selaras dengan pendekatan umum Singapura terhadap perubahan cukai yang sensitif kepada pasaran.

"Dalam kes ini, ia adalah untuk mengelakkan pembida tergesa-gesa ke pasaran, atau memesongkan pasaran COE," katanya, sambil menambah bahawa pendekatan yang sama diambil apabila had rebat PARF diperkenalkan dan apabila ARF dinaikkan.

Cukai dan rebat kenderaan juga dikenakan pada masa pendaftaran, bukan pada masa penjualan, supaya pembeli dalam pelaksanaan pembidaan COE diberi layanan sama rata, katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita