Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Potongan harga bagi 100 barangan keperluan di NTUC Fairprice setiap Jumaat mulai 4 Mac

Anggaran Waktu Membaca:
Potongan harga bagi 100 barangan keperluan di NTUC Fairprice setiap Jumaat mulai 4 Mac

Pasar raya NTUC FairPrice (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 14 Feb 2022 10:47PM Dikemas Kini : 14 Feb 2022 10:48PM

SINGAPURA: Mulai 4 Mac, para pembeli di semua pasar raya dan pasar raya besar NTUC FairPrice akan menikmati potongan harga lima peratus setiap Jumaat bagi kira-kira 100 "barangan keperluan", menurut FairPrice pada Isnin (14 Feb).

Barangan keperluan itu termasuk keperluan harian rumah harian seperti beras, minyak, telur, susu, sayur-sayuran, daging, barangan untuk mencuci baju dan tisu. Potongan harga akan berlangsung sehingga hujung tahun ini.

Ia merupakan salah satu program Fairprice "Stretch Your Dollar" untuk membantu pengguna "tangani kenaikan kos sara hidup yang diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 yang berlarutan", menurut FairPrice Group dalam satu kenyataan media.

Program itu dilancarkan pada tahun 2007 hingga 2008 sewaktu krisis kewangan dan dikembalikan dari 2010 hingga 2011 ketika kegawatan ekonomi pada masa itu.

"Inisiatif ini melengkapi skim potongan harga sedia ada untuk Generasi Perintis, Generasi Merdeka, Diskaun Warga Emas dan pemegang kad CHAS berwarna biru antara Isnin (dengan) Khamis," menurut FairPrice.

Penjimatan daripada skim potongan harga itu, termasuk potongan lima peratus setiap hari Jumaat, dijangka melebihi S$12 juta tahun ini, menurut FairPrice.

FairPrice menambah bahawa pihaknya akan mengetengahkan pelbagai potongan harga dan rebat sedia ada untuk mengingatkan pelanggan supaya memanfaatkan diskaun tersebut untuk meraih lebih banyak penjimatan.

KEKALKAN, KURANGKAN HARGA

FairPrice juga mengumumkan bahawa harga kopi atau teh panas, tanpa susu dan kurang atau tanpa gula, akan dikurangkan dan dikekalkan pada 90 sen di lebih 80 Kopitiam dan pusat makanan NTUC Foodfare mulai Isnin, hingga hujung tahun ini.

Ia juga akan mengekalkan harga set sarapan sehingga hujung tahun.

Kopitiam akan memperluaskan 'Program Rice Garden', yang dilancarkan pada 2015, ke lebih banyak lokasi untuk memberikan makanan pada harga rendah kepada golongan memerlukan serta warga emas dan ahli kesatuan, menurut FairPrice.

FairPrice juga akan melancarkan satu program pada separuh kedua tahun ini untuk menyediakan makanan percuma buat golongan yang memerlukan. Akan juga ada "inisiatif khas makan jimat" di pusat makanan Kopitiam dan Foodfare milik FairPrice.

Butiran lanjut akan diumumkan kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FairPrice, Seah Kian Peng berkata bahawa “FairPrice Group akan melakukan yang terbaik untuk menyederhanakan kos sara hidup dengan mengekalkan harga walaupun tekanan kos meningkat dalam banyak aspek seperti pengangkutan, komoditi dan pembungkusan, tenaga, serta rantaian bekalan yang terganggu.

"Namun, kami berkongsi kebimbangan pengguna kami terhadap kos sara hidup dan bagaimana situasi COVID-19 sudah menjejas kehidupan dan mata pencarian penduduk.

"Kami melancarkan program ini dan memperkenalkan inisiatif baru di pasar raya, pusat makanan dan kedai kopi kami. Usaha ini akan membantu masyarakat untuk berjimat untuk keperluan yang lebih penting."

Beliau menambah bahawa FairPrice akan "terus memantau keadaan dengan teliti" dan "meneroka cara untuk menjadikan kehidupan lebih baik untuk semua".

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan